suria

Pulau Pinang catat bilangan penagih yang dikesan paling tinggi

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang mencatat bilangan penagih dadah yang dikesan (penagih baru dan berulang) paling tinggi dari Januari hingga Ogos tahun ini iaitu seramai 734 orang mengatasi negerinegeri lain, menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Bakir Zin berkata ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan dengan 702 penagih, Johor (501), Ipoh (314), Kedah (301) dan Selangor (171).

"Kita akan sentiasa memantau keadaan ini dari masa ke masa dan memberi penekanan atau fokus yang lebih terhadap negeri ini (Pulau Pinang) dengan memperbanyakkan program membanteras dadah," katanya selepas merasmikan sukan AADK di Universiti Malaya di sini hari ini.

Bakir berkata bilangan penagih dadah yang dikesan di seluruh negara setakat Ogos tahun ini menurun berbanding tempoh yang sama tahun lepas apabila hanya 8,870 penagih dicatatkan.

"Tahun lepas (Januari-Ogos), 10,800 orang penagih dikesan. Ini menunjukkan perkembangan positif terhadap usaha kita selama ini," katanya.

Beliau berkata golongan penganggur yang berumur antara 19 dan 39 tahun adalah yang paling ramai dikesan.

Bakir berkata tahun depan AADK akan menambah 1,300 anggota baru yang akan ditempatkan di seluruh negara termasuk di pusatpusat serenti bagi memperkasakan peranan dan perkhidmatan agensi itu.

"Dari segi logistik, kita akan memperbesarkan pejabat-pejabat AADK di seluruh negara dan menambah kenderaan mengikut keperluan. Kemudahan IT juga akan ditambah dalam usaha memantapkan pengurusan pentadbiran," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain