suria

Pengajaran Dari Pengalaman Banjir Besar...

KOTA BHARU: Banjir besar yang melanda negara kita bagaikan satu mesin masa yang telah membawa saya kembali ke zaman silam yang menyaksikan saya hidup tanpa bekalan elektrik, internet mahupun telefon.

Dan yang lebih menggerunkan ialah, saya dan keluarga terputus hubungan dengan dunia luar buat seketika.

Apabila banjir reda, saya terpaksa menunggu dan beratur panjang selama lebih sejam hanya untuk mengisi petrol kereta.

Kemudian selepas kembali ke rumah, saya membantu makcik saya untuk membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur menggunakan air yang dipam keluar dari sumber air bawah tanah, membersihkan setiap helai pakaiannya dan mengejar masa untuk menjemurnya sebelum hari kembali gelap.

Setiap malam saya tidur awal kerana tidak ada bekalan elektrik untuk menerangi bilik saya yang kegelapan dan tiada bekalan internet untuk saya melayari dunia siber.

Saya juga memasak secara efisien kerana bekalan bukan sahaja sangat terhad malah peti sejuk tidak berfungsi untuk menyimpan bekalan makanan yang banyak dan juga tiada bekalan air bersih yang mencukupi untuk membasuh apa sahaja.

Kesemua ini bagaikan kembali ke zaman silam dan bukannya ke masa depan.

Bagaimanapun, apa yang terjadi ini merupakan satu bentuk pembelajaran yang berguna buat anak-anak saya malah juga kepada suami saya - dia tidak pernah membersihkan sebegitu banyak benda sepanjang hidupnya.

Adalah di luar imaginasi kita semua, bagaimana di era ini, bencana yang terjadi ini mengambil masa berhari-hari lamanya untuk bekalan elektrik dan bekalan air paip dipulihkan semula.

Satu perkara yang pasti ialah rakyat Kelantan sentiasa menerima masa susah dan masa senang tanpa banyak bicara termasuklah kesengsaraan yang dibawa oleh banjir dahsyat seperti mana yang berlaku sekarang.

Walaupun banjir telah berlalu tetapi kesengsaraan yang mereka tanggung tetap kekal bersama mereka. Ramai yang terpaksa memulakan kehidupan dengan tangan yang kosong.

Hari demi hari, mereka terpaksa berhadapan dengan sampah sarap yang bertimbun dan barangan serta perkakas yang tidak boleh digunakan lagi dengan bekalan elektrik dan air paip yang tidak konsisten.

Bagi kami pula, memandangkan keluarga kami memiliki sumber bekalan air bawah tanah kami dapat melakukan kerja-kerja pembersihan dengan agak pantas. Tetapi kerja-kerja pemulihan sememangnya perlahan dan lembab kerana bekalan air bersih yang terhad.

Di Kelantan khususnya di sini, setiap orang boleh dikatakan adalah mangsa banjir. Hanya tahap mana sahaja yang memisahkan perbezaan kesengsaraan dan bebanan akibat daripada bencana ini.

Orang luar mungkin merasakan segala-galanya telah kembali normal sebaik sahaja melihat banjir surut. Tetapi hakikatnya itu bukanlah senarionya kerana kesan pasca banjir masih menghantui fikiran lebih-lebih lagi proses membersihkan harta benda daripada bencana ini sangat-sangat membebankan para mangsa.

Orang-ramai terpaksa hidup dengan sampah sarap di sekeliling mereka setiap hari dengan lumpur yang masih melitupi lantai rumah tetapi mereka terpaksa 'menelan' semua ini kerana mereka tidak mempunyai tempat lain lagi untuk berteduh. Ini adalah rumah mereka.

Para sukarelawan yang tiba untuk membantu mangsa-mangsa juga akhirnya mendapati tidak banyak yang dapat mereka bantu kerana tidak ada bekalan air bersih yang mencukupi untuk membersihkan rumah serta kawasan yang ditenggelami lumpur.

Namun begitu, jika dibandingkan dengan mereka yang kehilangan rumah atau harta benda sepenuhnya, saya dapati saya sangatlah bernasib baik.

Dan pengajaran daripada banjir besar ini?

> Lagi banyak harta benda yang anda miliki, lagi banyak kerja pembersihan yang perlu anda lakukan.

> Hidangan makanan tin yang dimakan bersama-sama ahli keluarga selepas sepanjang hari melakukan kerja-kerja pembersihan adalah yang paling lazat yang pernah saya rasai.

> Hargailah apa yang anda miliki kerana ia boleh lesap dan hanyut dalam sekelip mata.

> Lakukan kerja-kerja dan hulurkan bantuan tenaga secara praktikal.

> Sentiasa ada pelan B dalam hidup atau perkukuhkan daya tahan anda.

> Kegembiraan hanya mudah - roti dan bun yang saya bawa dari Kuala Lumpur telah menceriakan wajah ibu yang berusia 70 tahun, kakak, abang dan adik sepanjang hari.

Banjir Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain