suria

Mencapai Kecemerlangan Dalam Pendidikan Melalui Inovasi

INSTITUT Aminuddin Baki (IAB) mentakrifkan semula peranan kepimpinannya dalam menjadikan pengetua sekolah sebagai pengurus sekolah dan pemimpin pendidikan yang cemerlang.

Walaupun IAB merupakan sayap latihan Kementerian Pendidikan, ia juga mahu program-programnya sampai kepada para pengetua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan Sekolah Agama Rakyat.

Dalam satu temubual bersama BERNAMA baru-baru ini selepas IAB menerima sijil kualiti ISO 9001: 2008 daripada Moody International, Pengarah IAB Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata: "Mereka juga dianggap sebagai aset negara dan perlu diberi peluang untuk melalui amalan terbaik di IAB dalam meningkatkan kapasiti sumber manusia."

Dilantik sebagai pengarah ke-10 institut itu tiga bulan yang lepas, Ghafar berkata IAB menekankan terhadap inovasi kualiti dalam pendekatannya.

Apabila diminta menjelaskan hal ini, Ghafar berkata dalam menekankan inovasi kualiti IAB telah memperkenalkan konsep pengurusan berasaskan kepada sekolah yang memberikan autonomi kepada sehingga 10,000 sekolah di negara ini dengan prinsip-prinsip prestasi digunapakai untuk menilai keberkesanan pihak pengurusan sekolah-sekolah ini.

PROGRAM JURULATIH INDUK

Seterusnya, IAB akan meminta pihak persijilan untuk mengiktraf Program Jurulatih Induk (Master Trainers' Programme). Ini bermakna para pensyarah di IAB yang memperoleh sekurang-kurangya satu daripada tiga peringkat kelayakan Jurulatih Induk layak untuk mengendalikan kursus bagi pengetua sekolah, dan mungkin pada masa depan menganjurkan program pendidikan antarabangsa, seminar dan bengkel.

Ini merupakan satu lagi langkah IAB untuk menaiktaraf program-program latihan institut itu kepada standard dunia.

"IAB mahu berada satu langkah di hadapan dalam dunia pendidikan dan sebagai pihak yang disegani dalam sektor pengurusan di Malaysia".

IAB kini menumpukan kepada enam bidang teras - latihan, pernilaian, khidmat rundingan, penyelidikan dan pembangunan, penerbitan dan perancangan strategik.

Kesemua bidang kepakaran ini dan pengkhususan disediakan bagi mencapai objektif dalam menyediakan latihan berkualiti untuk pengurusan pendidikan dan mendedahkan konsep kepimpinan berbilang dimensi kepada masyarakat pendidik di Malaysia.

Sebagai inovasi dalam menangani keluhan bahawa pengetua-pengetua sekolah seringkali tiada di sekolah kerana berkursus, sebagai penyelesaian IAB akan membahagikan struktur operasinya mengikut zon - Johor di selatan, Kelantan di pantai timur dan Perak di utara.

IAB sudahpun mempunyai kampus cawangan di Jitra, Kedah. Menjelang suku pertama tahun ini, sebuah kampus cawangan IAB akan beroperasi di Santubong untuk menampung keperluan masyarakat pendidik di Sarawak.

Di setiap zon, teknologi e-pembelajaran akan diperkenalkan untuk membolehkan pembelajaran mesra pengguna, mengemaskini pengetahuan berhubung pendidikan, capaian mudah ke pendapat pakar serta berunding dan berkomunikasi secara elektronik antara IAB dan pengetua, dan pengetua dan guru.

SATU PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN

Mengulas mengenai kejayaan IAB mendapat sijil sistem pengurusan kualiti ISO 9001: 2008, Ghafar menjelaskan yang ia adalah permulaan baik tetapi budaya kualiti ini perlu dikekalkan secara konsisten.

"Saya bangga mengenai IAB, pertubuhan pertama di kalangan institusi-institusi pendidikan di negara ini untuk menerima persijilan ISO daripada kumpulan auditor luaran, Moody International," katanya.

Menurut Ghafar, untuk kekal di hadapan, IAB perlu membawa momentum inovasi kepada peringkat lebih tinggi.

Diasaskan pada 1 Mac, 1979, IAB pada awalnya dikenali sebagai Institut Latihan Kakitangan Pendidikan Malaysia (MESTI) dan pada 1988 ia ditukar kepada IAB sebagai memperingati sumbangan tokoh pendidikan negara, Allahyarham Aminuddin Baki. Kampus IAB di Genting Highlands berada 1,000 meter di atas paras laut dengan suhu harian antara 18 dan 23 Celsius dan dikelilingi kehijauan alam semulajadi.

Kampus ini juga menyewa bilik-bilik latihan bagi syarikat dan pertubuhan. Mereka yang berminat sehinggakan boleh menyewa sebuah kompleks asrama empat tingkat dengan 400 bilik dua katil, asrama eksekutif bersama 100 bilik, dan sebuah dewan makan yang boleh menampung 500 tetamu. Selain daripada itu, masjid kampus itu boleh menampung seramai 400 orang.

Inisiatif IAB untuk menyewa aset-aset fizikalnya adalah untuk menjana pendapatan. IAB perlu mencari sumber pendapatan alternatif selaras dengan penekanan kerajaan terhadap perbelanjaan berhemah.

MEMPERLUAS CAPAIANNYA

IAB kini mempunyai bahagian komunikasi korporat. Bahagian ini diamanahkan tugas mengendalikan permintaan dan permohonan daripada calon-calon antarabangsa yang mahu mengikuti program kepimpinan pendidikan di kampus IAB.

Selain daripada pegawai pendidikan dalam negara, IAB juga menerima calon tajaan SEAMEO, ASEAN, G15, ISESCO, UNESCO/ IIEP/ ANTRIEP.

Satu lagi fungsi penting bahagian ini ialah untuk menilai maklumatbalas program latihan bagi pengetua sekolah dan pernilaian prestasi IAB sendiri.

Dalam menguruskan maklumatbalas, Ghafar menunjukkan yang institut ini mempunyai mekanisme tersendiri di mana keberkesanan setiap modul latihan akan dikaji semula secara berterusan.

PENGETUA YANG MENENTUKANNYA

Secara ringkas apa yang IAB mahu ialah untuk melihat sekolah-sekolah dikendalikan oleh guru-guru pemimpin yang pakar, kata Ghafar.

Beliau juga bersetuju dengan tanggapan umum 'Sekolah Baik dan Sekolah Tidak Baik' dan dalam setiap kes nasib sekolah-sekolah ini bergantung kepada kualiti pengetua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain