suria

Peranti "Never Alone' Bantu Tingkat Keselamatan Diri

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berjalan ke sekolah berseorangan. Warga emas berada di rumah sendirian. Seorang pengembara yang suka menikmati kesunyian menerokai alam seorang diri.

Pepatah lama 'lebih ramai lebih selamat' menunjukkan banyak risiko jika bersendirian. Cannie Ong dan Nurin Jazlin Jazimin, antara kisah pengalaman pahit bagaimana isu keselamatan perlu dititikberatkan bagi mereka yang berseorangan.

Memandangkan insiden yang tidak diingini boleh berlaku terhadap sesiapa, dan walaupun di tempat yang dianggap paling selamat, satu peranti GPS buatan Malaysia menawarkan penyelesaian bagi keselamatan diri untuk yang memerlukan.

Diperkenal oleh XTEND Services Sendirian Berhad, 'Never Alone' merupakan penjejak GPS dan telefon kecemasan yang pertama di dunia menggunakan perisian dan fail data atau firmware tempatan.

Peranti padat ini (saiz kad kredit, tidak lebih daripada 2.5 cm tebal) dihubungkan dengan sebuah Pusat Panggilan 24/7 bagi bantuan dan dikuasakan oleh perisian pemantauan semua dalam satu. Kemungkinan rakan terbaik bagi yang memerlukan.

KESELAMATAN DENGAN MENEKAN BUTANG

Pengarah Eksekutif XTEND Services Sdn Bhd, Francis Seaw menjelaskan bahawa di bawah pakej khidmat '1 Monitor' yang ditawarkan syarikat itu 'Never Alone' merupakan khidmat pertama seumpamanya untuk menjaga keselamatan mereka yang disayangi dan melindungi aset bernilai mereka.

Dengan hanya perlu menekan butang sekali sahaja, 'Never Alone' berfungsi sebagai telefon bimbit kecemasan dengan ia juga dilengkapi butang SOS, butang makluman ketibaan, butang dial cepat bagi panggilan suara serta peranti dial dalaman. "Apabila butang panik (SOS) diaktifkan semasa kecemasan, peranti itu mengecam lokasi tepat menerusi satelit, dalam bentuk koordinat longitud dan latitud, kelajuan pergerakan, masa dan tarikh. "Maklumat ini kemudian dihantar melalui SMS ke pusat operasi canggih 24/7, di mana Pusat Panggilan XTEND akan menghubungi pemilik dan polis," kata Seaw.

KESELAMATAN PERIBADI DAN LEBIH LAGI

Memandangkan jenayah membabitkan kanak-kanak semakin meningkat, Seaw berkata 'Never Alone' akan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika seseorang kanak-kanak melepasi kawasan yang dianggap selamat untuk dia sepatutnya berada.

Jika kanak-kanak mendapati diri mereka dalam bahaya, mereka boleh maklumkan kepada pusat operasi 24/7 dengan menekan butang SOS dan dijamin bantuan segera dihantar. "Selain daripada pemantauan kanak-kanak, peranti ini sangat berguna bagi perantau, mereka yang kurang upaya, warga tua, pelari, penunggang basikal dan pemandu kenderaan untuk mendapatkan rawatan jika berlaku kecemasan."

Petugas terlatih di Pusat panggilan XTEND juga akan membantu pengguna bersama maklumat terperinci untuk memudahkan rawatan atau diagnosis semasa kecemasan.

'Never Alone' juga membolehkan syarikat perniagaan untuk mengesan pergerakan tenaga kerja mereka yang bertugas di luar.

Ia menawarkan kelebihan daya saing bagi syarikat perniagaan dengan memantau waktu kerja petugas dan kedudukan harta mudah-alih, membenarkan pemilik perniagaan untuk mengoptimum produktiviti dan sumber kewangan mereka.

Kebolehan untuk memantau dari jauh parameter dalam sektor perubatan (sebagai contoh pemeriksaan suhu, kelembapan bilik yang menyimpan vaksin), dan pemantauan bagi kecemasan perubatan, sangat berguna. Satu kajian perintis yang dijalankan selama hampir setahun di klinik dan hospital di Perak mendapati penambahbaikan dalam kecekapan sebanyak 50 hingga 70 peratus dalam penyampaian khidmat menerusi peranti ini.

Dan sudah tentu, kata Seaw berseloroh, ia boleh digunakan oleh suami isteri atau pasangan kekasih untuk menjejaki di mana pasangan mereka berada. Jangan pula ada yang sudah memikirkannya!

PENYELESAIAN SEHENTI

Seaw memberi contoh kejayaan penyelesaian '1 Security' milik XTEND sebelum ini, iaitu apabila seorang perompak stesen minyak di Shah Alam ditangkap beberapa minit selepas kejadian rompakan.

Dalam kejadian pada 23 Oktober tahun lepas, seorang daripada dua lelaki memasuki kedai serbaneka di stesen itu dan mengugut meminta wang daripada juruwang di kaunter.

Juruwang itu menekan butang panik dan petugas bilik kawalan terus memanggil polis serta pemilik stesen itu. Polis yang tiba dalam tempoh lapan minit berjaya menangkap perompak itu tidak jauh dari tempat kejadian. Seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri, tetapi wang yang hilang berjaya ditemui semula.

Sementara itu menjejaki individu bersama 'Never Alone' bukanlah mudah kerana ia boleh menimbulkan pelbagai implikasi memandangkan ia membabitkan isu privasi.

Ada yang mungkin menganggapnya sebagai perbuatan menghendap, cuma bezanya ialah kelebihan setara yang tepat.

Menyedari wujud kebimbangan terhadap keselamatan maklumat, Seaw mengulas "Kami bertanggungjawab terhadap pengguna, dan kami dalam apa carapun tidak akan mencabuli privasi individu. Peranan kami ialah untuk menjaga keselamatan dan menyampaikan laporan, dan juga untuk melaporkan penyalahgunaan.

'Never Alone' dikuasakan oleh bateri biasa, dan memerlukan sebuah kad SIM. Ia dipakej sebagai satu perkhidmatan, bersama langganan bulanan sebanyak RM75 dan kontrak tiga tahun bagi produk itu.

ANDA TIDAK LAGI BERSENDIRIAN

Mengenai siapa pelanggannya, 80 peratus daripada mereka melanggan kepada pakej '1 Security' dan '1 Monitor' milik XTEND, sementara 'Never Alone' kini digunakan bagi memperkasa perniagaan dan bukannya bagi tujuan keselamatan peribadi.

Tetapi Seaw yakin yang trend ini akan berubah. "Produk ini masih baru, tetapi dengan lebih ramai orang mengetahui kelebihannya mereka akan mula menunjukkan minat. Selain itu, kami juga mahu mengeksport 'Never Alone'. Terdapat minat yang tinggi dari Timur Tengah. Kami juga menumpukan terhadap negara-negara dengan populasi warga tua yang besar seperti Australia."

Pihak tentera juga menunjukkan minat terhadap khidmat dan produk XTEND, dan pada masa ini syarikat ini sedang berusaha membentuk kerjasama dengan kerajaan, katanya.

Apabila mengetahui adanya peranti keselamatan pengguna pasti berasa lebih selamat tetapi itu tidak bermakna kita boleh abaikan tanda-tanda ancaman.

XTEND, sebuah daripada kumpulan syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera mengkhususkan dalam menyediakan sistem keselamatan bersepadu serta penyelesaian yang menggabungkan pemantauan kejadian, keselamatan menyeluruh dan komunikasi produk tunggal pelbagai guna. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain