suria

Malaysia utamakan pembelian OKU

WALAUPUN kerajaan menganggarkan terdapat kira-kira 1.3 juta orang kurang upaya (OKU) di negara ini, namun setakat ini hanya 233,939 orang sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon baru-baru ini berkata, statistik itu tidak memberi gambaran sebenar OKU di negara ini.

Beliau berkata jumlah yang rendah ini menyebabkan kerajaan menghadapi sedikit masalah dari segi perancangan dasar membela OKU secara menyeluruh.

Kementerian telah pun menubuhkan Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya yang dipengerusikan Menteri berkenaan, Datuk Dr Ng Yen Yen, bagi menyelia, menyelaras dan memantau pelaksanaan dasar negara yang berkaitan OKU terutama Akta Orang Kurang Upaya yang diwartakan 7 Ogos tahun lepas.

Mungkin kesedaran masih kurang dalam kalangan OKU dan anggota keluarga mereka mengenai hak dan keistimewaan yang boleh mereka dapatkan dari segi kemudahan kesihatan, pelajaran, penerangan, komunikasi dan teknologi, aktiviti bersukan, riadah dan kebudayaan.

Siapa itu OKU?

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2007, Orang Kurang Upaya atau OKU ditakrifkan sebagai "mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat".

Bagi setiap OKU yang ingin memperoleh kemudahan dan bantuan yang disediakan JKM, agensi-agensi kerajaan atau swasta, mereka hanya dikehendaki mendaftar untuk mendapatkan Kad Kenal Diri OKU sebagai satu perakuan yang sah bahawa mereka memang orang kurang upaya.

Kad ini hanya boleh diperoleh dengan mendaftarkan diri di Pejabat JKM Daerah di tempat tinggal OKU berkenaan dengan perakuan doktor.

Enam katgeori OKU Bagi maksud pendaftaran, JKM mengklasifikasikan OKU kepada enam kategori utama iaitu kecacatan atau ketidakupayaan seperti berikut Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan (seperti buta), Kurang Upaya Fizikal (Kecacatan anggota badan misalnya penyakit Polio, kudung), Cerebral Palsy (Hemiplegia, Cerebral Palsy yang melibatkan sebelah bahagian badan), Masalah Pembelajaran (lewat perkembangan, down's syndrome, autisma, Attention Deficit Hyperactive Disorder, terencat akal, masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia, dysgraphia, dyscalculia).

Lain-lain ialah seperti diagnosa perubatan merangkumi semua masalah kurang upaya yang tidak dinyatakan dalam format di atas.

Kad kenal diri OKU

Kad Kenal Diri OKU yang dikeluarkan JKM akan memudahkan OKU berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Kad itu terbahagi kepada 6 jenis warna mengikut kategori ketidakupayaan seperti berikut: Pengelihatan (biru), Pendengaran(ungu), Fizikal (hijau), Cerebral Palsy (merah), Masalah Pembelajaran (kuning) dan lain-lain (oren).

Tujuan pendaftaran dengan JKM adalah untuk mengumpul data atau statistik bagi maksud perancangan perkhidmatan atau program pemulihan, pencegahan, latihan dan pendidikan serta intervensi awal.

Walaupun pendaftaran adalah atas dasar sukarela, ia seharusnya digalakkan bagi OKU mendapatkan segala kemudahan dan insentif yang disediakan bukan sahaja oleh pihak kerajaan, tetapi juga swasta.

Kemudahan, keistimewaan kepada OKU

Pelbagai keistimewaan yang disediakan kementerian dan agensinya untuk OKU akan mudah disalurkan kepada OKU yang berdaftar umpamanya Kementerian Pelajaran di bawah Jabatan Pendidikan Khas yang menyediakan program khas kepada kanakkanak daripada kategori kurang upaya penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Program pendidikan dijalankan di sekolah pendidikan khas dan melalui program integrasi di sekolah biasa.

Kerajaan juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya pendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi pengajian di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mereka diberi elaun khas bulanan sebanyak RM300. Kemudahan ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Penggajian Tinggi.

Pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan sekolah menengah pula diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan. Kemudahan ini di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas.

Kaunseling, khidmat nasihat

Di JKM, OKU atau keluarga mereka yang menghadapi masalah dari segi emosi, keyakinan diri dan sebagainya boleh mendapatkan maklumat untuk khidmat kaunseling daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat atau kaunselor di Pejabat Kebajikan Masyarakat.

Agensi kerajaan yang lain dan Pertubuhan Kebajikan Sukarela (NGO) juga memberi perkhidmatan pemulihan bagi orang kurang upaya.

Agensi-agensi berkenaan adalah seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Pendidikan Khas (Kementerian Pelajaran) dan Jabatan Tenaga Kerja (Kementerian Sumber Manusia).

Program pengesanan awal

Kementerian Kesihatan menjalankan Program Pengesanan Awal dalam memberi rawatan dan pemeriksaan untuk kemasukan ke institusi kebajikan. Jabatan Pendidikan pula menyediakan pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas seperti kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran dan masalah pembelajaran melalui tiga program.

Program itu ialah sekolah khas, program integrasi dan program inklusif di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Program integrasi juga disediakan bagi pelajar kurang upaya pendengaran di sekolah teknik dan politeknik. ]

Bagi Jabatan Tenaga Kerja, ia menggalakkan pihak swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan OKU melalui Jawatankuasa Penggalakkan Penggajian Orang Kurang Upaya di sektor swasta.

Pertubuhan-pertubuhan sukarela juga banyak mengambil inisiatif dengan membuka pusat harian dan pusat latihan bagi OKU sebagai perkhidmatan sokongan terhadap program-program kerajaan dan sebagai memenuhi tanggungjawab masyarakat dalam pemulihan golongan itu.

Pengecualian cukai jalan

Menurut JKM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga menyediakan kemudahan pengecualian cukai jalan bagi orang kurang upaya fizikal yang menggunakan kenderaan kereta, van dan motosikal buatan tempatan mulai tahun 2004. JKM juga sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada OKU.

Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan memberikan insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya.

Antaranya ialah Malaysia Airlines (MAS), yang memberi tambang murah sehingga 50 peratus bagi penerbangan dalam negeri, manakala KTM Berhad memberi tambang konsesi sehingga 50 peratus bagi semua perjalanan semua kelas.

Syarikat bas Transnasional juga memberi konsesi 50 peratus dari harga tambang dan syarikat pengangkutan RAPID KL memberi kemudahan tambang percuma kepada golongan kurang upaya.

Kemudahan lain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyediakan kemudahan kepada OKU bagi menyewa rumah-rumah kos rendah atau rumah pangsa DBKL dengan memberi pengurangan kadar sewa kepada kumpulan ini. Sementara itu, Syarikat Perumahan Nasional Negara (SPNB) memberi diskaun sebanyak 20 peratus kepada golongan OKU berpendapatan rendah untuk memperoleh rumah kos rendah dan sederhana.

Golongan OKU turut dikecualikan daripada bayaran rawatan di hospital atau pusat perubatan awam di negara ini.

Kelonggaran ini termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan, manakala Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran ke atas perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan (pasport antarabangsa) kepada golongan ini.

Dengan segala kemudahan ini, agak merugikan jika ramai daripada OKU masih tidak mendaftarkan diri dan mengecualikan diri mereka daripada dibela dan dibantu oleh semua pihak yang mahu mereka turut berkongsi kehidupan sama rata di Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain