suria

AUCMS Sasar 50 Peratus Pelajar Luar Negara Menjelang 2015

KEPALA BATAS: Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) menyasarkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di universiti berkenaan terdiri daripada penuntut luar negara menjelang tahun 2015.

Presiden AUCMS Datuk Dr Zainuddin Md Wazir berkata sasaran itu adalah matlamat untuk menjadikan universiti berkenaan pusat pengajian perubatan yang dikenali di peringkat antarabangsa.

"Ketika ini AUCMS mempunyai kurang daripada lima peratus pelajar luar negara," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di universiti berkenaan di sini, Ahad.

Zainuddin berkata ketika ini AUCMS mempunyai seramai 3,000 pelajar.

Katanya AUCMS akan memperkenalkan 20 program baru diploma dan ijazah dalam masa terdekat dan langkah itu boleh menggalakkan lebih ramai pelajar luar negara mengikuti pengajian di universiti berkenaan.

Zainuddin berkata program-program itu akan ditawarkan secara berperingkat selepas mendapat kelulusan daripada pihak yang berkaitan.

Sementara itu, Nor Mohamed dalam sidang media yang sama berkata kerajaan akan sentiasa memberi sokongan kepada institusi pengajian swasta bagi membantu mereka untuk lebih berdaya saing.

"Apabila ada usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan institusi pengajian di negara ini dan minta kita (kerajaan) tolong, kita boleh tolong dalam perkara tertentu seperti menyediakan jalan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain