suria

Ireland Tawar Pendidikan Percuma Kepada Anak Pelajar M'sia

PUTRAJAYA: Penuntut Malaysia yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Ireland tidak lagi perlu bimbang mengenai persekolahan anak-anak mereka kerana kerajaan negara itu kini menawarkan pendidikan percuma kepada anak-anak mereka di sana.

Persetujuan itu dicapai hasil memorandum persefahaman yang ditandatangani hari ini antara Kementerian Pengajian Tinggi yang diwakili menterinya Datuk Seri Mohd Khaled Nordin dan Menteri Latihan dan Kemahiran Ireland, Ciaran Cannon.

"Sebelum ini terdapat banyak halangan dihadapi oleh penuntut tempatan yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat PhD ke luar negara kerana mereka (negara luar) tidak membenarkan anak-anak penuntut kita bersekolah di sana.

"Tetapi melalui kepimpinan baru kerajaan Ireland, mereka membenarkan anak-anak kepada pelajar kita untuk meneruskan persekolahan di sana dan (ini akan) mendorong lebih ramai bijak pandai kita menyambung pengajian ke peringkat PhD di Ireland," kata Mohd Khaled kepada pemberita.

Beliau berkata kejayaan Ireland dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan, keusahawanan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga boleh dikongsi bersama.

Mohd Khaled berkata, kerjasama itu juga merangkumi pertukaran tenaga akademik dan perkongsian idea dalam sistem dan struktur pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Kini terdapat 1,135 penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di Ireland, 854 daripadanya merupakan penuntut tajaan kerajaan Malaysia.

Artikel Lain