suria

Pandangan Berbeza Dalam Jenayah

Kereta curi yang berjaya ditemui semula hasil usaha pasukan polis.

SAYA telah melibatkan diri dalam Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) (Bidang Keberhasilan Utama Negara - NKRA) bagi menangani isu jenayah sejak setahun lalu. Isu tentang jenayah bukan sahaja menarik, tetapi boleh mencetuskan kontroversi.

Isu tersebut merupakan topik yang menarik apabila pihak berkuasa dan masyarakat cenderung untuk memberi pandangan yang berbeza.

Saya mulakan artikel ini dengan mengupas tentang isu jenayah dan ketakutan terhadap jenayah. Saya juga akan berkongsi beberapa artikel tentang jenayah dan penulisan ini adalah yang pertama. Niat saya adalah untuk berkongsi pengetahuan yang saya diperoleh sepanjang bersama NKRA dan menterjemahkan pengalaman itu sebagai sudut perspektif kepada pembaca.

Saya percaya terdapat empat perkara yang sering kita bincangkan di kedai kopi dan forum-forum tertentu. Empat perkara itu adalah kadar jenayah, kebimbangan terhadap jenayah, perasaan terhadap keselamatan dan keyakinan dalam sistem perundangan.

Jenayah kebiasaannya diukur sebagai kadar jenayah di kawasan tertentu. Melalui NKRA Jenayah, kami menilai kadar jenayah menggunakan indeks jenayah. Indeks jenayah melibatkan jenayah ganas dan kecurian harta. Ia tidak membabitkan jenayah komersial, jenayah berkaitan dadah dan jenayah siber.

Kami menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar indeks jenayah sebanyak 5 peratus pada setiap tahun sejak lima tahun lalu. Tahun lepas, kami mencapai pengurangan sebanyak 12.6 peratus, sekali gus jauh melepasi sasaran yang ditetapkan.

Sejak pembaharuan NKRA Jenayah bermula lima tahun lalu, kami mencapai pengurangan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah pada 2009. Kira-kira 80 peratus daripada kadar indeks itu merupakan kes kecurian harta (termasuk kecurian kereta) dan 20 peratus kes jenayah keganasan.

Pencapaian ini dilihat konsisten dengan negara-negara lain. Pengurangan dalam indeks jenayah sejak lima tahun lalu boleh dilihat pada Rajah 1.

Secara keseluruhannya, kami berjaya mengurangkan kadar jenayah daripada 580 kes sehari pada 2009 kepada 350 kes sehari pada 2014. Kes kecurian kereta yang merupakan sebahagian indeks jenayah, menunjukkan penurunan sebanyak 20 peratus buat kali pertama sejak 2009.

Sehubungan ini, secara puratanya, sebuah kereta hilang dalam setiap 30 minit, bermakna kira-kira 17,000 kereta setiap tahun. Di sebuah negara maju di bahagia selatan negara kita, kadar kehilangan kereta adalah sebuah kereta bagi setiap 10 minit.

Pengurangan indeks jenayah sebanyak 40 peratus merupakan pencapaian yang besar. Tetapi masalahnya, masyarakat umum tidak merasakan kadar jenayah telah berkurangan dan kebimbangan kita terhadap jenayah masih lagi tinggi.

Pusat kajian Frost & Sullivan melaksanakan satu tinjauan pada tahun lalu untuk mendapatkan pandangan orang awam terhadap tahap jenayah di negara ini sejak tiga tahun lepas. Hasil tinjauan menunjukkan sebanyak 50 peratus individu yang terlibat dalam tinjauan itu mendakwa kadar jenayah semakin meningkat, manakala 40 peratus lagi merasakan tahap jenayah kekal. Hanya 10 peratus sahaja menyedari indeks jenayah telah berkurangan sejak tiga tahun lalu.

Pada mulanya kami berasa bingung dengan keputusan tinjauan itu. Tetapi kemudiannya kami menyedari ia merupakan corak yang sama (pandangan sama) di kebanyakan negara-negara maju.

Sebenarnya, terdapat jurang antara realiti indeks jenayah dan persepsi masyarakat awam berhubung perkara itu. Kami menamakan situasi ini sebagai jurang 'realiti-persepsi' (Rujuk Rajah 2) dan hal ini berlaku disebabkan orang awam cenderung untuk terlalu menekankan risiko berhubung jenayah.

Persepsi merupakan satu panduan yang digunakan oleh orang awam untuk menilai kadar jenayah dalam persekitaran mereka. Terdapat dua komponen yang dikaitkan dengan persepsi iaitu ketakutan terhadap jenayah dan perasaan kurang selamat terhadap persekitaran.

Ketakutan terhadap jenayah merupakan kebimbangan menjadi mangsa jenayah, sedangkan perasaan tidak selamat merupakan perasaan umum dan tidak semestinya seseorang itu akan menjadi mangsa. Kajian itu menunjukkan bahawa kita sebenarnya bimbang terhadap kedua-dua komponen terbabit.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara antara lelaki dan wanita apabila dikaitkan dengan dua komponen itu. Golongan wanita memberi perhatian lebih terhadap perasaan tidak selamat dan tahap kebimbangan terhadap jenayah mereka lebih tinggi berbanding lelaki.

Situasi itu bermaksud, golongan wanita lebih berisiko menjadi mangsa jenayah apabila berada di persekitaran yang berisiko.Persekitara sedemikian boleh diterjemahkan berdasarkan keadaan sekeliling iaitu jika satu-satu tempat itu gelap pada waktu malam, maka berisiko tinggi untuk berjalan di kawasan tersebut.

Saya sedar orang ramai secara umumnya tidak percaya tentang kenyataan saya bahawa kadar jenayah telah menurun sejak beberapa tahun lepas. Statistik yang diperolehi merupakan rekod jenayah yang telah dicatatkan.

Kita boleh berdebat berhubung isu indeks jenayah tetapi ia tidak akan mengubah fakta bahawa kadar jenayah telah menurun.

Kita tidak wajar menghabiskan tenaga kita untuk berbahas tentang indeks jenayah. Sebaliknya kita perlu menjadikan statistik itu sebagai panduan bagi mengatasi perasaan takut masyarakat umum kepada jenayah dan perasaan tidak selamat, dan kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan kedua-dua komponen itu.

Kita perlu pandang ke hadapan dan membuat keputusan untuk menggabungkan dua komponen itu menjadi 'ukuran persepsi jenayah' atau CPI. Struktur CPI akan dijelaskan dalam artikel seterusnya.

Seperti yang digambarkan dalam filem The Croods, seorang bapa cenderung untuk berasa bimbang terhadap persekitaran di luar gua dan mahu mengekalkan keluarganya di dalam gua itu. Anak perempuan lelaki itu mahu merasai cabaran di luar gua dan merasakan tertekan dengan kehidupan yang mereka alami.

Bagi saya, sangat penting untuk kita menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan meminimumkan perasaan takut terhadap jenayah. Pihak berkuasa tidak mampu menentang jenayah dan ketakutan itu secara bersendirian.

Kita perlu memandang perkara ini sebagai tanggungjawab yang dikongsi bersama. Kita, sebagai orang awam, anda dan saya, serta pihak polis perlu bersatu dalam perjuangan dan mengatasi jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah.

Indeks jenayah tidak akan menjadi sifar dan begitu juga ketakutan terhadap jenayah. Sebagai rakyat, saya menggalakkan agar usaha berterusan perlu diambil untuk menangani jenayah dan ketakutan terhadap jenayah.

Usaha yang dilaksanakan setakat ini masih belum mencukupi dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Paling penting, usaha yang berterusan dan lebih gigih perlu dilaksanakan. Mari sertai perjuangan menentang jenayah dan bantulah kami melalui pandangan dan cadangan anda

> Datuk Dr Amin Khan merupakan Pengarah Pemandu NKRA Membanteras  Jenayah. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]. Artikel ini merupakan pandangan beliau. Satu video ringkas tentang pandangan terhadap jenayah boleh ditonton melalui pautan ini, https://www.youtube.com/c/gtproadmap/ atau http://bit.ly/1CmaCi0


habis..

Pemandu, NKRA, Jenayah

Artikel Lain