SEORANG lelaki didakwa meracun anak lelakinya berusia 14 tahun sehingga maut gara-gara mangsa menonton filem 'dewasa' menerusi telefon bimbit. Kejadian berlaku di Solapur di Maharashtra, India. Suspek bekerja sebagai tukang jahit dan tinggal bersama isteri serta dua anaknya di bandar Solapur. Lelaki itu pada awalnya cuba menyembunyikan perbuatannya daripada isteri dan pihak polis. Pada 13 Januari lalu, suspek dan isterinya membuat laporan kehilangan anak lelaki mereka di balai polis. Beberapa hari selepas siasatan dilakukan, polis menemukan mayat seorang budak lelaki di dalam longkang berdekatan dengan rumah pasangan itu. Hasil bedah siasat mendapati terdapat natrium nitrat dan racun dalam badan mangsa. Polis kemudian menjalankan siasatan kes bunuh dan menyoal siasat keluarga dan jiran-jiran suspek. Bagaimanapun pada 28 Januari lalu, suspek membuat pengakuan kepada isterinya mengenai pembunuhan itu. Suspek mengaku tertekan selepas menerima banyak aduan mengenai anaknya yang memberi masalah kepada pelajar lain dan tidak menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Dia juga tidak suka dengan tingkah laku anaknya di rumah termasuk ketagihan mangsa menonton filem 'dewasa'. Suspek dikatakan membawa anaknya keluar menaiki motosikal sebelum memberikan minuman mengandungi racun. Dia kemudian mencampakkan mayat anaknya ke dalam longkang. Susulan itu, isteri supek memaklumkan kepada polis mengenai pengakuan tersebut sebelum suspek ditahan untuk pendakwaan. - India Today Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube