suria

Piala Dunia: Penyokong Jepun kutip sampah, tunggu selepas perlawanan bersihkan stadium

Seorang penyokong Jepun mengutip sampah di stadium. foto MuhammadSmiry/Twitter

PENYOKONG Jepun dilihat membantu membersihkan stadium pada Piala Dunia Qatar 2022.

Ia berlaku selepas aksi perlawanan pembukaan antara Qatar dan Ecuador di Stadium Al Bayt, Qatar, pada Ahad.

Negara matahari terbit itu menerima pujian pada kejohanan lalu, apabila menunggu selepas perlawanan untuk membersihkan stadium.

Amalan itu berterusan di Qatar dengan menunjukkan mereka melakukan kerja dengan baik.

penyokong jepun 2

Penyokong Jepun menerima pujian kerana membantu membersihkan stadium. foto uhammadSmiry/Twitter

Menerusi satu video, seorang lelaki kedengaran berkata: "Seseorang meyakinkan saya bahawa ini adalah perkara biasa.

"Penyokong Jepun memutuskan untuk membersihkan stadium. Ia bukan perlawanan mereka!

"Apabila saya bertanya kepada mereka, 'Mengapa anda membersihkan sesuatu yang tidak berkaitan dengan anda?' Jawapannya ialah, 'Orang Jepun tidak pernah meninggalkan sampah di belakang. Kami menghormati tempat itu'."

Pada 2018, selepas tewas pada saat akhir pertembungan kalah mati Piala Dunia menentang Belgium, penyokong Jepun kekal di stadium untuk membersihkan kawasan.

Wartawan yang berpangkalan di Jepun, Scott McIntyre memberitahu BBC: "Ia bukan hanya sebahagian daripada budaya bola sepak tetapi sebahagian daripada budaya Jepun.

"Anda sering mendengar orang berkata bahawa bola sepak adalah cerminan budaya. Satu aspek penting dalam masyarakat Jepun ialah memastikan segala-galanya benar-benar bersih.

"Dan itu berlaku dalam semua acara sukan dan pastinya juga dalam bola sepak," katanya.

Jepun akan mempamerkan aksinya dalam Piala Dunia pada Rabu, menyaksikan pasukan itu berdepan Jerman. - Daily Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain