suria

Kerja 38 Hari, Upah $6

COX'S BAZAR/KUTUPALONG: Pelarian kanak-kanak Rohingya melalui keperitan hidup di Bangladesh apabila dipukul dan berdepan serangan seksual, demikian pendedahan Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM).

Laporan bebas yang dihasilkan Reuters mengesahkan penemuan pertubuhan itu.

Hasil siasatan IOM terhadap eksploitasi di kem pelarian Bangladesh di mana Reuters mengkajinya secara eksklusif, serta kenyataan remaja Rohingya berusia 11 tahun yang telah berkahwin serta golongan ibu bapa meminta supaya pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan ekonomi.

Kira-kira 450,000 kanak-kanak atau 55 peratus daripada populasi pelarian tinggal di penempatan sementara berhampiran sempadan Myanmar selepas meninggalkan negara mereka.

Pegawai polis di Cox's Bazar, Superitendan Afjurul Hoque Tutul berkata, sebanyak 11 pusat kawalan dibentuk untuk memastikan tiada kanak-kanak pelarian yang meninggalkan kem berkenaan.

"Jika ada kanak-kanak Rohingya didapat bekerja, penjaga akan dihukum," katanya.

Kebanyakan pelarian tiba ke sini sejak dua bulan lalu selepas mendapat tekanan pihak tentera Myanmar.

Hasil penemuan IOM mendapati, kehidupan di kem pelarian sedikit lebih baik berbanding di negara asal untuk kanak-kanak Rohingya.

Menurut IOM, kanak-kanak menjadi sasaran ejen buruh dan digalakkan bekerja oleh ibu bapa mereka kerana masalah makanan tidak berkhasiat dan kemiskinan di kem pelarian, selain peluang pendidikan yang terhad.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati, budak lelaki dan perempuan Rohingya seawal usia tujuh tahun telah mula bekerja di luar penempatan mereka.

Budak lelaki bekerja di ladang, tapak pembinaan, bot nelayan, gerai makan dan pemandu lanca, demikian menurut laporan itu.

Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka akan diambil bekerja sebagai pembantu rumah, pengasuh kanak-kanak untuk keluarga Bangladesh sama ada di bandar berdekatan Cox's Bazar atau Chittagong yang terletak kira-kira 150 kilometer dari kem pelarian.

Perkara ini didedahkan ibu bapa kepada remaja perempuan berusia 14 tahun kepada Reuters mengenai anaknya yang bekerja di Chittagong sebagai pembantu rumah tetapi kemudiannya melarikan diri.

Apabila pulang ke kem, budak perempuan itu tidak dapat berjalan kerana didakwa telah dipukul dan menjadi mangsa serangan seksual oleh majikannya.

Dakwa ibunya, majikannya yang juga pemabuk akan masuk ke bilik anaknya pada waktu malam dan merogolnya enam atau tujuh kali.

Selain itu, temubual Reuters dengan tujuh keluarga yang menghantar anak mereka bekerja mendapati semuanya berdepan masalah gaji tidak setimpal dan penderaan.

Muhammad Zubair, 12, berkata, dia ditawarkan 250 taka sehari tetapi akhinya menerima hanya 500 taka (4.71 pounds) untuk 38 hari bekerja sebagai buruh.

Remaja lelaki ini kemudiannya bekerja di gerai minuman selama sebulan dengan jadual kerja dari pukul 6 pagi hingga tengah malam dan diberi rehat selama empat jam pada tengah hari.

"Apabila saya tidak diberi gaji, saya melarikan diri," katanya yang mengadu tidak dibenarkan meninggalkan gerai berkenaan dan hanya berpeluang menghubungi ibu bapanya sekali sahaja.

Selain itu, kebanyakan ibu bapa memberi tekanan kepada anak perempuan mereka supaya berkahwin seawal usia 11 tahun bagi menangani masalah kewangan, demikian penemuan IOM.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka menjadi isteri kedua  dan kemudiannya diceraikan  dan ditinggalkan tanpa bantuan kewangan.

Selain itu, kata pakar anti penyeludupan manusia IOM, Kateryna Ardanyan berkata, eksploitasi sudah menjadi budaya di kem pelarian.- Reuters



Rohingya, Chittagong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain