suria

Tiada Maklumat Kaitkan Kematian Wanndy Dengan Insiden Di Selatan Thai

Muhammad Wanndy dilaporkan terkorban dalam serangan pesawat dron pada 29 April lalu.

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand tidak mempunyai maklumat risikan menunjukkan bahawa insiden pengeboman di selatan Thailand baru-baru ini ada kaitan dengan kematian ketua militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi di Syria.

Bagaimanapun, Ketua Polis Thailand Jen Chaktip Chaijinda telah mengarahkan Cawangan Khas menyiasat dakwaan mengenai kaitan antara kematian militan Daesah rakyat Malaysia itu dan pengeboman di wilayah-wilayah di selatan baru-baru ini.

"Kita tidak mempunyai maklumat risikan (mengenai kaitan itu)," kata beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat di ibu pejabat Polis Diraja Thailand pada Khamis.

Beliau berkata Thailand dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia sentiasa berhubung rapat antara satu sama lain dan menambah pihak berkuasa Thailand dilengkapi langkah-langkah bagi menangani sebarang ancaman terhadap negara itu.

Chaktip mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini bahawa insiden di Selatan Thailand, Jakarta (Indonesia) dan Mindanao (Filipina) baru-baru ini ada kaitan dengan kematian Muhammad Wanndy.

Muhammad Wanndy, yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka terbunuh dalam serangan yang dilancarkan oleh pesawat dron pada 29 April.Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan kematiannya.

Mengenai sama ada kumpulan pengganas Daesh mendalangi pengeboman ke atas Hospital Pramongkutklao tiga hari lepas, Chaktip berkata tiada tanda-tanda seperti itu.

"Jika Daesh bertanggungjawab bagi serangan tersebut , kumpulan pengganas itu sudah tentu mengaku bertanggungjawab secara terbuka seperti serangan pengganas di negara lain sebelumnya," kata beliau.

Letupan di hospital yang disebabkan oleh bom paip menyebabkan 21 orang cedera.

Beliau berkata polis telah menyoal siasat 61 orang dan akan menyoal 10 hingga 20 orang lagi untuk mengumpulkan maklumat mengenai insiden di hospital tersebut.

"Pihak berkuasa percaya lebih daripada seorang pelaku terlibat dalam insiden itu dan polis sementara itu sedang menyiasat mengenai tiga pucuk surat yang memberi amaran bahawa serangan akan dilancarkan ke atas tiga lagi hospital, teletak dekat Hospital Pramongkutklao. - BERNAMA

Muhammad Wanndy, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Lain