suria

Ariana Grande Batal Siri Jelajah 'Dangerous Woman'?

MANCHESTER: Penyanyi Ariana Grande tiba di Amerika Syarikat pada Selasa, sehari selepas pengganas meletupkan bom di konsertnya di sini, sekaligus mengakibatkan 22 nyawa melayang.

Sehingga kini, masih timbul persoalan sama ada bintang pop itu akan meneruskan siri jelajahnya di Eropah.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik di laman web Daily Mail, Grande, 23, dirakamkan turun dari pesawat peribadi di sebuah lapangan terbang di kampung halamannya, di Boca Raton, Florida dan ketibaannya disambut ahli keluarga.

Kelibat Grande tidak kelihatan dalam khalayak ramai sejak insiden letupan di Manchester Arena yang berlaku selepas konsertnya berakhir.

Sebahagian besar daripada 22 mangsa yang terkorban adalah golongan remaja dan kebanyakannya, remaja perempuan.

Namun, Grande, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis Britain sudah mengesahkan identiti pengebom nekad, iaitu Salman Abedi, 22, yang dilahirkan di Manchester, manakala ibu bapanya berasal dari Libya.

Sementara itu, Grande dijadual mengadakan siri jelajah di London, Belgium, Poland, Jerman, Switzerland dan Perancis dalam tempoh beberapa minggu lagi, bagi mempromosi album ketiganya yang bertajuk 'Dangerous Woman'.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung siri jelajah itu.

Malah, pengurus Grande, Scooter Braun tidak memberikan maklum balas berhubung perkara itu ketika diminta pihak Reuters.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain