suria

Korea Utara Lancar 'Peluru Berpandu'

GAMBAR FAIL

SEOUL: Korea Utara dilapor menjalankan ujian peluru berpandu terbaharu pada Sabtu walaupun menerima tekanan antarabangsa agar tidak mengadakan sebarang ujian senjata bagi meredakan ketegangan yang semakin meningkat di rantau Asia.

Agensi berita Korea Selatan yang memetik kenyataan tentera, Pyongyang melancarkan objek yang dipercayai peluru berpandu balistik dari kawasan barat negara itu yang dikenali sebagai Kusong.

Lokasi tersebut merupakan tempat yang sama ketika Korea Utara mengadakan ujian peluru berpandu jarak sederhana tidak lama dahulu.

Ujian peluru berpandu balisitik itu dilaksanakan buat kali pertama dalam tempoh dua minggu selepas percubaan kali terakhir melancarkan misil  mengalami kegagalan.

Susulan perkembangan terbaharu itu, pakar senjata percaya bahawa Korea Utara berjaya menyelesaikan beberapa isu teknikal yang menyebabkan peluru berpandu gagal dilancarkan.

Sementara itu, ujian terbaharu tersebut mengundang bantahan keras daripada Jepun apabila Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga menyifatkan tindakan Pyongyang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bantahan yang sama turut disuarakan oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Sejak awal tahun ini, Korea Utara menjalani beberapa siri ujian peluru berpandu yang mengundang kebimbangan antarabangasa terhadap cita-cita negara itu mahu memiliki senjata nuklear.

Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat antara negara yang memberi amaran keras kepada Pyongyang bahawa tindakan ketenteraan akan diambil sekirannya republik tersebut masih berdegil mengingkari peraturan antarabangsa.

Kemuncaknya, Washington mengerahkan armada tentera laut ke perairan Semenanjung Korea sebagai langkah berjaga-jaga terhadap tindakan luar jangka oleh Korea Utara.

Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain