suria

Kepala Ejen Rusia Dipenggal Daesh

DUBAI: Video terkini kumpulan militan Daesh menunjukkan aksi kejam memenggal kepala seorang lelaki  dipercayai pegawai risikan Rusia yang ditahan di Syria.

Kumpulan Risikan SITE yang berpangkalan di Amerika Syarikat menjejaki kegiatan pengganas menerusi dalam talian melaporkan perkara ini.

Ia menunjukkan lelaki berkenaan berpakaian hitam dalam keadaan melutut di kawasan padang pasir sambil menggesa ejen Rusia lain menyerah diri.

Video berdurasi 12 minit itu disiarkan pada hari sama Rusia menyambut ulang tahun kemenangannya ke atas Nazi Jerman pada 1945 dengan mengadakan perarakan besar-besaran di Moscow.

Kedengaran seseorang berkata “Lelaki tidak berguna itu percaya dengan janji negaranya tidak akan membiarkan dia begitu sahaja jika dia ditangkap”, sebelum seorang lelaki berjanggut memenggal kepala warga Rusia itu.

Kesahihan rakaman itu dan identiti lelaki terbabit tidak diketahui, malahan sama ada pembunuhan itu benar-benar berlaku juga tidak dapat disahkan.

Rusia menghantar tenteranya untuk membantu Presiden Syria Bashar al-Assad dalam peperangan dengan penentangnya serta militan yang berusaha menggulingkannya.

Video itu turut menyiarkan gambar menunjukkan kesan serangan udara Rusia di Syria.

Kementerian Pertahanan Russia sebelum ini berkata, 30 tenteranya terbunuh sejak Moscow terbabit dalam operasi bersenjata di negara itu pada September 2015. 


Daesh, Rusia, Syria

Artikel Sebelum

Hutan 'Pemuas Nafsu'

Artikel Berikut

Artikel Lain