suria

Pelajar Panjat Bumbung Kompleks Parkir Lima Tingkat

SINGAPURA: Majlis Perbandaran Ang Mo Kio di sini sedang mengambil langkah pencegahan selepas sekumpulan pelajar didapati memanjat bumbung kompleks parkir bertingkat di Hougang.

Lianhe Wanbao pada Khamis lalu melaporkan seorang penduduk merakamkan kumpulan pelajar itu beraksi di atas bumbung tempat letak kereta setinggi lima tingkat di Block 971A, Hougang Street 91.

Penduduk itu yang enggan dikenali berkata, tindakan pelajar itu berbahaya kerana tiada pagar atau penghadang di atas bumbung bangunan itu.

Wanita itu memberitahu, pelajar-pelajar tersebut memanjat bumbung sambil mengambil gambar swafoto pada kira-kira pukul 5 petang Rabu.

Menjawab kepada pertanyaan The Strait Times, jurucakap Majlis Perbandaran Ang Mo Kio pada Jumaat berkata, mereka telah melakukan siasatan terhadap perkara itu.

"Siasatan menunjukkan pelajar-pelajar tersebut memanjat ke atas bumbung tempat letak kereta bertingkat menggunakan hos pili bomba," katanya.

"Wakil sekolah itu akan dimaklumkan berhubung kejadian dan majlis perbandaran akan melakukan langkah-langkah pencegahan."

Difahamkan satu laporan polis dibuat, dan pelajar memanjat ke atas bumbung untuk mengambil dompet yang terjatuh.

Seorang penduduk yang berusia 50an yang tinggal berhadapan dengan tempat letak kereta itu memberitahu Wanbao bahawa anak perempuannya melihat aksi kumpulan pelajar tersebut.

"Saya lihat keluar dan nampak mereka mengambil gambar swafoto. Ada yang menari, dan saya bimbangkan mereka. Kalau mereka tergelincir, mereka boleh jatuh ke bawah, dan saya tak dapat bayangkan apa yang berlaku nanti," katanya. – The Straits Times/Asia News Network

Artikel Berikut

Artikel Lain