suria

GIF Paling Lama Di Dunia Bertahan Selama 1,000 Tahun

HELSINKI: Format Grafik Berubah-Ubah (GIF) yang popular dalam kalangan pengguna media sosial kebiasaannya digunakan untuk tempoh beberapa saat, tetapi seorang artis seni di Finland mencipta grafik yang mampu berubah-ubah selama 1,000 tahun.

Artis berkenaan, Juha van Ingen menamakan GIF itu sebagai "As Long As Possible' atau "ASLAP", sekali gus menjadi GIF paling panjang di dunia yang akan berakhir sehingga tahun 3027.

Grafik tersebut akan berubah-ubah dengan bentuk dan gambaran yang berbeza, melibatkan 48,140,288 kerangka yang berubah setiap 10 minit.

Menurut van Ingen, beliau terfikirkan idea itu apabila diberitahu bahawa GIF tidak boleh bergerak selama-lamanya.

Ujarnya, GIF merupakan animasi yang istimewa dalam format digital dan kelihatan mustahil untuk mencipta grafik ringkas yang sentiasa bergerak tanpa had.

"Tugas ini amat istimewa kerana saya mahu menggerakkan grafik bagi tempoh yang cukup lama," katanya menurut laporan Oddity Central.

Ciptaan van Ingen itu ditempatkan di Muzium Seni Kontemporari Kiasma di Filand dan akan dibiarkan bergerak selama mana yang boleh.

Malah van Ingen turut mencari jalan penyelesaian jika sesuatu yang buruk berlaku pada ciptaannya itu termasuk terputus bekalan elektrik.

"Fail ASLAP yang sama akan diletakkan di beberapa lokasi berbezai selain di muzium berkenaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Malah jika semua paparan GIF itu musnah, saya telah menyimpan format GIF yang asli dalam kapsul masa dan boleh digunakan semula jika situasi tersebut berlaku," katanya.

GIF, Finland, Juha van Ingen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain