suria

Tentera Laut Indonesia Tahan Dua Kapal Nelayan 'Malaysia'

ANGGOTA tentera laut Indonesia bergambar bersama nelayan yang ditahan di Selat Melaka. - Gambar ihsan Jakarta Post

JAKARTA: Tentera laut Indonesia menahan dua buah kapal menggunakan bendera Malaysia yang didakwa menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di kawasan perairan negara ini di Selat Melaka pada Ahad.

Jurucakap tentera pangkalan tentera laut (Lantamal) I di Belawan, Sumatera Utara, Mejar Sahala Sinagar berkata, seramai 10 krew kapal warga Myanmar ditahan dalam kejadian tersebut.

"Kesemua krew itu kini disiasat di Belawan," kata Sahala seperti dilaporkan portal Jakarta Post.

Menurutnya, penahanan itu dibuat apabila sebuah kapal peronda tentera laut mengesan dua buah kapal, KHF 1785 dan FKPB 1781 di lokasi berbeza apabila mereka dilaporkan menceroboh perairan Indonesia.

Kedua-dua kapal berkenaan didapati menggunakan pukat tunda untuk menangkap ikan.

"Mereka dikesan melakukan kesalahan itu dekat Aceh Temiang.

"Kapal berkenaan cuba melarikan diri apabila dihampiri kapal peronda yang terpaksa melepaskan dua tembakan amaran sebelum mengejar mereka," katanya.

Selain menahan 10 krew tersebut, tentera laut turut menemukan peralatan untuk menghisap dadah di sebuah daripada kapal berkenaan.

Sahala mengesyaki krew bot itu membawa dadah yang dibuang ke dalam laut sebelum tentera laut menaiki kapal mereka.

"Kami percaya mereka membuang dadah ke dalam laut kerana laluan yang dilayari mereka merupakan lokasi penyeludupan dadah," katanya.

Indonesia, Tahan Nelayan, Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain