suria

Menteri, Gabenor Antara Suspek Kes Rasuah RM757 Juta

Hakim mahkamah Indonesia, Jhon Halasan Butar-butar (tengah) mengetuai perbicaraan berhubung kes rasuah sistem kad pengenalan elektronik yang melibatkan individu berprofil tinggi di mahkamah khas rasuah di Jakarta pada 9 Mac 2017. - AFP

JAKARTA: Beberapa ahli politik Indonesia berdepan tuduhan terlibat dalam skandal rasuah yang melibatkan wang kerajaan berjumlah 2.2 trilion rupiah (RM757 juta).

Menteri kehakiman, bekas menteri dalam negeri, Speaker Parlimen dan beberapa gabenor wilayah antara individu berprofil tinggi yang dipanggil ke mahkamah khas rasuah pada Khamis pada permulaan perbicaraan dua pegawai kementerian dalam negeri.

Pihak berkuasa anti rasuah Indonesia mendakwa rangkaian yang melibatkan 80 suspek dan beberapa buah syarikat memperkenalkan sistem kad pengenalan elektronik yang berjumlah 5.8 trilion rupiah (RM1.9 bilion) pada 2011 dan 2012 sebelum mereka mencuri lebih satu pertiga dana yang diperuntukkan.

Irman dan Sugiharto, dua pegawai yang kini dibicarakan, didakwa menerima suapan berjumlah 58 bilion rupiah (RM19 juta) manakala baki 2.3 trilion rupiah (RM766 juta) dibahagikan dalam kalangan berpuluh-puluh suspek lain yang terlibat.

Media tempatan melaporkan bahawa Speaker Parlimen dan menteri kehakiman menafikan tuduhan terlibat dalam kegiatan itu.

Kedua-dua mereka berasal daripada parti politik yang menyokong kepimpinan Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Pembongkaran kes rasuah berskala besar itu ternyata menggemparkan seluruh rakyat Indonesia.

Badan tinjauan rasuah dunia, Transparency International menerusi laporan pada 2016, memberikan markah rasuah di Indonesia sebanyak 37 mata berdasarkan skala satu hingga 100.

Indonesia menduduki tangga ke-90 daripada 176 buah negara yang berdepan masalah rasuah yang serius.

Rasuah, Indonesia

Artikel Lain