suria

Polis Perancis Buru Perompak Bersenjata

Pasukan keselamatan Perancis sedang menjalankan siasatan di pejabat agensi pelancongan yang diserang perompak bersenjata dan menjadian tujuh orang tebusan.

PARIS: Polis Perancis sedang giat memburu sekumpulan perompak bersenjata yang menjadikan tujuh orang sebagai tebusan di sebuah agensi pelancongan di sini.

Bagaimanapun, selepas hampir tiga jam, perompak yang menyerang syarikat yang terletak di selatan bandaraya ini pada kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan itu telah membebaskan semua tebusan terlibat.

Susulan itu, semua perompak bersenjatakan senapang patah itu meloloskan diri.

"Rompakan bersenjata di Massena Boulevard di Paris: Operasi berakhir," kata polis Paris dalam Twitter.

Kejadian itu mencetuskan operasi besar-besaran polis di Paris, menyaksikan kawalan keselamatan masih tinggi selepas siri serangan pengganas sejak dua tahun lalu, termasuk tragedi November 2015 yang meragut 132 nyawa. 

Polis mengepung kawasan sekitar agensi pelancongan Asieland, yang mengutamakan pelancongan ke Asia. AFP melaporkan, ketika dibebaskan, semua tebusan diarah keluar dengan meletakkan tangan di atas kepala.

Agensi itu terletak di wilayah ke-13 di Paris, kawasan penempatan yang padat dengan restoran Asia dan diduduki ramai komuniti Cina.

Polis kemudian menggeledah bangunan dan menyedari penyerang sudah melarikan diri.

"Kami melihat empat atau lima orang keluar dengan tangan di atas kepala, diikuti 15 pegawai.

"Tiada tembakan, tidak letupan. Ia sudah berakhir," kata seorang penduduk tempatan, Zinedine, 55, yang keluar untuk membeli rokok.

Sementara itu, Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, berterima kasih kepada polis kerana kepantasan dan profesionalisme menerusi Twitter - AFP




Paris, Massena Boulevard

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain