suria

13 Maut, Enam Cedera Selepas Bar Terbakar Akibat Lilin Kek

Keadaan di luar bar Cuba Libre yang terbakar sehingga mengorbankan 13 nyawa.

PERANCIS: Sekurang-kurangnya 13 orang maut dan enam cedera dalam kebakaran ketika sambutan majlis hari lahir yang diadakan di bar Cuba Libre berdekatan bandar Rouen pada Sabtu.

Kebakaran itu tercetus selepas siling bilik bawah tanah bar tersebut disambar lilin yang dinyalakan atas kek tersebut.

Menurut pegawai kanan polis, mangsa maut akibat terhidu gas campuran toksik yang terhasil dari siling yang terbakar.

"Tiada letupan berlaku. Kejadian ini berpunca daripada api lilin yang digunakan.

"Menurut siasatan awal, seramai 13 orang mati dan enam cedera. Lebih daripada 50 anggota bomba digegaskan ke tempat kejadian," kata Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve dalam satu kenyataan.

Menurut Setiausaha Agung Seine-Maritime, Yvan Cordier, salah seorang mangsa yang cedera masih berada dalam keadaan kritikal.

Pegawai tempatan, Laurent Labadie yang berada di tempat kejadian pula memaklumkan kejadian kebakaran tersebut tidak disengajakan.

Penduduk Perancis mula berasa gelisah setiap kali berlaku kebakaran atau letupan selepas beberapa siri serangan militan IS sering berlaku di negara tersebut termasuk pembunuhan seorang paderi berdekatan Saint-Etienne-du-Rouvray.

Pengebumian paderi itu diadakan di gereja Rouen dan telah dihadiri lebih daripada 2,000 orang yang berkabung kerana terkejut dengan pembunuhan kejam tersebut. -AFP

Perancis

Artikel Lain