suria

Indonesia Hukum Mati Empat Pesalah Dadah

Ambulans membawa jenazah Freddy Budiman yang dihukum mati kerana kesalahan jenayah dadah, Jumaat,

CILACAP: Empat pesalah yang disabitkan dengan jenayah dadah telah dijatuhi hukuman mati pada awal pagi Jumaat walaupun mendapat bantahan antarabangsa.

Pada masa sama, keputusan akan dibuat untuk melaksanakan  hukuman terhadap 10 pesalah lagi.

Seorang warga tempatan dan tiga rakyat Nigeria ditembak mati oleh skuad penembak tengah malam waktu tempatan ketika hujan lebat di penjara Nusa Kembangan, lokasi banduan berdepan hukuman mati ditempatkan.

Kerajaan berkata awal minggu ini, 14 banduan berdepan hukuman mati atau disebut sebagai 'banduan akhir' kebanyakannya warga asing, akan dihukum mati kerana jenayah dadah.

Mereka yang dihukum mati ialah rakyat tempatan Freddy Budiman dan warga Nigeria, Seck Osmane, Michael Titus dan Humphrey Jefferson. 

Ahli keluarga, kumpulan hak asasi dan kerajaan asing menggesa Indonesia menyelamatkan nyawa 14 pesalah tetapi tidak jelas sama ada ia mempengaruhi keputusan untuk tidak melaksanakan hukuman mati serentak.

Peguam dan kumpulan hak asasi membangkitkan persoalan serius mengenai kesahihan sabitan Jefferson selain sabitan wanita tempatan dan seorang lelaki Pakistan. 

Ia adalah pelaksanaan hukuman mati ketiga di bawah pemerintahan Presiden Joko 'Jokowi' Widodo yang dilantik pada 2014 dan kempen dengan janji memperbaiki rekod hak asasi manusia di Indonesia. 

Timbalan Peguam Negara, Noor Rachmad, berkata tahap serius jenayah penyeludupan dadah dipertimbangkan dalam pelaksanaan hukuman mati ke atas empat pesalah berkenaan. 

"Ia bukan sesuatu yang menyeronokkan tetapi undang-undang perlu dilaksanakan. Hukuman cuma bertujuan mengekang jenayah dadah," katanya. 

Konvoi 17 ambulans, kebanyakannya membawa keranda, tiba pagi Khamis di bandar paling hampir dengan Nusa Kambangan. - AP

dadah, Nigeria, Freddy Budiman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PM Jepun Rombak Kabinet 3 Ogos

Artikel Lain