suria

Washington Sokong Inisiatif KL Tubuh Pusat Digital Kekang Pengaruh Militan

WASHINGTON DC: Amerika Syarikat (AS) memuji serta menyokong inisiatif Malaysia untuk mewujudkan sebuah pusat digital serantau bagi mengekang pengaruh dan propaganda kumpulan pelampau melalui laman media sosial.

Selain menyatakan sokongan, negara itu juga bersetuju untuk berkongsi sistem pangkalan data yang mempunyai maklumat kira-kira 86,000 orang yang disyaki pengganas yang diuruskan oleh Pusat Saringan Pengganas di sini.

Setiausaha Negaranya, John Kerry menyatakan sokongan Washington terhadap cadangan penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, Khamis.

"Amerika memberi komitmen untuk membantu (penubuhan pusat itu di Kuala Lumpur) dalam aspek latihan, peralatan dan kaedah operasi, kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan selepas mereka menandatangani dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6) di Jabatan Negara di sini.

HSPD-6 adalah dokumen yang perlu ditandatangani oleh negara bagi menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat. Malaysia merupakan negara ke-39 berbuat demikian.

Ahmad Zahid berkata AS amat prihatin dengan usaha Malaysia yang kini Pengerusi ASEAN untuk menubuhkan pusat tersebut memandang mesej dakyah kumpulan militan IS begitu berpengaruh.

Malah, kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, sehingga 87 peratus daripada individu yang terbabit dengan IS adalah melalui komunikasi media sosial.

Idea penubuhan pusat serantau itu diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau, yang dipengerusikan Presiden Barack Obama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 29 Okt lepas.

IS adalah kumpulan militan radikal yang beroperasi di Iraq dan Syria. Asal IS adalah Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Iraq atau ISIS di Syria.

Menurut Perdana Menteri, pusat tersebut boleh menjadi benteng penting di barisan hadapan dalam usaha meluas serantau untuk menguatkan gerakan antipemesejan IS iaitu penyebaran ideologi untuk tujuan mengrekrut ahli dalam kalangan golongan muda melalui Facebook dan Twitter.

Ketika ini, pusat seumpamanya bagi menangani propaganda IS telah diwujudkan di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Ahmad Zahid, pusat tersebut juga berperanan untuk mendekati masyarakat untuk memberi kesedaran berhubung ancaman IS.

Mengenai pangkalan data senarai individu disyaki pengganas, Ahmad Zahid berkata kini pihak berkuasa Malaysia boleh mendapat akses kepada maklumat itu secara terus daripada pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

"Dulu kita terpaksa menggunakan Interpol sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat tetapi sekarang kita boleh memperolehinya secara terus daripada FBI untuk tindakan segera," katanya.

Pada masa yang sama, Malaysia juga berkongsi maklumat mengenai senarai individu yang telah disabitkan mengenai jenayah keganasan oleh mahkamah tempatan termasuk senarai individu yang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

POTA yang diluluskan Parlimen pertengahan tahun ini telah berkuat kuasa mulai 1 Sept lepas.

Ahmad Zahid juga berkata beliau menerangkan kepada Kerry tentang inisiatif Malaysia ke arah mengadakan Konvensyen Antarabangsa mengenai Deradikalisasi yang bertujuan menyediakan templat dan piawaian bagi langkah-langkah pemulihan.

"Dengan ini Malaysia menjadi tumpuan kerana berada di barisan depan untuk membantu komuniti antarabangsa dalam menyelesaikan perlakuan keganasan di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Pertemuan dengan Kerry itu turut dihadiri Duta Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Topik lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah mengenai soal kedaulatan dan ancaman di Laut China Selatan, Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik, usaha Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan manusia di rantau ASEAN dan tawaran Malaysia untuk menerima 3,000 pelarian Syria.

Washington, Amerika Syarikat

Artikel Lain