suria

AirAsia Jepun Dijenama Semula Sebagai 'Vanilla Air'

TOKYO: Syarikat penerbangan bajet tambang murah, AirAsia Jepun telah dijenamakan semula sebagai Vanilla Air, demikian menurut pengumuman syarikat itu pada Selasa.

Presiden syarikat itu, Tomonori Ishii berkata, perkataan 'vanila' disukai oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia dan nama itu dipilih daripada 200 nama baru yang disyorkan.

Pemilihan itu dibuat oleh para eksekutif syarikat dalam tempoh sebulan setengah.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di sini, Tomonori menambah, beliau sendiri berpendapat nama itu adalah satu nama yang 'comel' dan disukai ramai.

Penjenamaan semula nama syarikat penerbangan itu dibuat ekoran keputusan untuk berpecah dari kerjasama yang terjalin antara AirAsia dan Japan All Nippon Airways (ANA).

ANA kini memiliki sepenuhnya kepentingan dalam Vanilla Air.

Pengumuman mengenai pembatalan kerjasama itu diumum Jun lalu dan akan berkuatkuasa mulai Oktober tahun ini berikutan strategi perniagaan yang muram dan tidak mendapat sambutan.

Vanilla Air dijangka akan memulakan penerbangan sulungnya menjelang lewat Disember dengan dua buah pesawat yang disewa daripada ANA.

Sasaran destinasi pertamanya ialah kawasan peranginan dan percutian.

Kesemua 420 kakitangan AirAsia Jepun akan diserapkan sebagai kakitangan Vanilla Air.

Vanilla Air akan berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dengan sasaran pusat peranginan Asia sebagai destinasi utama.

Jumlah pesawat akan ditambah secara perlahan-lahan kepada 10 buah menjelang 2015.

Harga tiket dan juga destinasi tetap Vanilla Air akan diumumkan menjelang penghujung September nanti.

AirAsia Jepun mengalami kerugian sehingga AS$36 juta untuk kewangan yang berakhir Mac lalu.

Tomonori Ishii menjelaskan, sebahagian besar kerugian tersebut disumbangkan oleh tabiat membuat tempahan tiket oleh para penumpang Jepun yang masih konservatif iaitu melalui ejen-ejen pelancongan sedangkan fokus penjualan mereka tertumpu menerusi jualan secara talian (online).

Oleh yang demikian Vanilla Air akan kembali beroperasi dengan cara lama iaitu membuka tempahan menerusi ejen-ejen pelancongan dan pada masa yang sama tetap membuka tempahan menerusi talian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain