Sakit saraf tangan, apa yang pemuda ini buat adalah lakar, bakar potret dan jual! - I-suke | mStar

Sakit saraf tangan, apa yang pemuda ini buat adalah lakar, bakar potret dan jual!

Pengusaha Ajoywood Art & Design Enterprise, Azrul Nizam Muhamad, 29, bersama sebahagian karya seni yang dihasilkannya menggunakan kaedah seni bakar semburan. -foto BERNAMA

POTRET di atas kanvas mungkin terlalu biasa tetapi potret yang dihasilkan di atas permukaan kayu dengan kaedah ‘pembakaran’ adalah sesuatu yang unik dan ia menjadi antara pilihan orang ramai untuk mengabadikan memori mereka.

Lebih unik lagi, potret terbakar itu dihasilkan oleh seorang anak muda menghidap penyakit saraf tangan namun menerusi bakatnya, beliau boleh menghasilkan sebuah potret terbakar dengan gabungan seni ukiran, seni lukis dan seni pertukangan kayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom tambah koleksi! 10 watak Ejen Ali The Movie kini dalam bentuk setem pos istimewa

Pengusaha Ajoywood Art & Design Enterprise, Azrul Nizam Muhamad, 29, yang lebih dikenali sebagai Ajoy berkata karyanya itu menggunakan gabungan kaedah seni bakar semburan dan teknik mencanai kayu dengan pengkhususan kepada lukisan jenis potret dan seni kaligrafi.

“Karya yang saya hasilkan pernah mendapat perhatian dan tular di laman sosial di luar negara iaitu Filipina di mana saya hasilkan seni potret terbakar figura pelakon popular Filipina Liza Soberano dan Enrique Gil pada tahun 2017 dan sejak itu, seni potret terbakar milik saya ini mula dikenali dan mendapat permintaan pelanggan dari serata Malaysia dan juga luar negara seperti Brunei, Filipina dan Yaman,” katanya.

Ajoy tekun melakukan sentuhan terakhir pada lukisan potret seniman Sudirman menggunakan kaedah seni bakar semburan.

Malahan hasil karyanya juga iaitu papan tanda kayu terbakar ‘Casa de Cat’ pernah ditempah oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada November lepas dan kaligrafi terbakar juga pernah dibeli oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada Februari tahun ini.

Kesan hangus kayu beri Ajoy idea 

Katanya idea untuk membuat potret terbakar ini tercetus ketika beliau sedang memotong kayu keras menggunakan mesin pemotong kayu bermata tumpul sehingga mengakibatkan terbentuk kesan hangus terbakar pada permukaan kayu itu.

“Ketika melakukan kerja pemotongan, saya terlihat kesan hangus terbakar pada permukaan kayu dan dari situ tercetusnya idea untuk membuat seni kayu terbakar, jadi saya mula terfikir mengapa tidak menggunakan teknik terbakar ini untuk hasilkan seni berkaitan potret atau kaligrafi.

“Sejak itu saya cuba melakukan eksperimen sendiri untuk menghasilkan teknik membuat potret dan kaligrafi dengan melakukan alat pembakar api yang telah diubah suai khas untuk kerja-kerja pembuatan seni bakar kayu,” katanya.

Ajoy tekun melakukan kerja di bengkelnya.

Ajoy berkata dalam setiap kerja seni yang dihasilkannya di bengkel perusahannya di Kampung Paya Baru, Port Dickson, latar kayu akan dibuat terlebih dahulu menggunakan kayu pine yang dipilih dan dirawat untuk dijadikan latar belakang lukisan potret itu.

“Permukaan latar kayu akan dibakar menggunakan alat pemateri elektrik dan pembakar api sembur untuk kerja-kerja pembuatan seni bakar kayu.

"Lakaran potret itu dibuat terlebih dahulu dengan menggunakan pensel dan seterusnya melakar garisan luar menggunakan sejenis alat pemateri yang telah diubah suai matanya agar lebih mudah untuk dibakar pada perincian lukisan tersebut,” katanya.

Ambil masa 6 hari untuk siapkan 

Tambahnya, potret terbakar buatan tangan sepenuhnya yang dihasilkannya itu adalah seratus peratus terhasil daripada kesan terbakar tanpa menggunakan pewarna luar seperti krayon atau warna air dan beliau hanya memerlukan alat pemateri elektrik, mesin pencanai dan pembakar api sembur yang telah diubahsuai.

Ajoy bersama hasil kerjanya yang sudah siap. 

Katanya, salutan kemasan akhir dibuat pada kepingan kayu pine yang telah siap dilakar dan dibakar dengan menggunakan sejenis cat “Polyurethane Clear Finish Coating’ bagi melindungi potret agar tahan lama, terhindar daripada serangga dan habuk kotoran tidak mudah melekat.

“Tempoh untuk menghasilkan potret terbakar ini bergantung kepada saiz sesebuah potret itu di mana paling lama untuk disiapkan mengambil masa selama enam hari dan harga bermula dari RM380 sehingga RM6,000 mengikut saiz,” katanya.

Ajoy yang kini mempunyai tiga pekerja, berkata setakat ini hanya beliau sahaja mahir dalam pembakaran namun sudah mula melatih dan memberi tunjuk ajar ilmu kemahiran kepada pekerjanya.

Penyakit saraf tangan tak lemahkan semangat Ajoy

Di sebalik kejayaan pemegang Ijazah Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka Teknologi Perindustrian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dalam menghasilkan seni potret terbakar, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam membangunkan perniagaannya sendiri.

“Sejurus menamatkan pengajian pada tahun 2014, penyakit saraf tangan yang dihadapi menjadi kritikal sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan dan tidak dapat melakukan kerja-kerja harian seperti biasa.

Ajoy sangat teliti dalam setiap kerjanya.

"Masa saya terlantar sakit, saya banyak habiskan masa menonton YouTube untuk mencari motivasi baharu sehingga timbul kesedaran untuk saya gilap bakat melukis dan kepakaran dalam mereka bentuk produk," ujarnya.

Selain menghasilkan potret terbakar, Ajoy juga menawarkan perkhidmatan tempahan kaligrafi terbakar, potret kayu dan dekorasi dinding pallet terbakar yang boleh ditempah dalam pelbagai saiz dan bentuk mengikut cita rasa pelanggan.

“Saya mula membuat potret terbakar terlebih dahulu dan seterusnya baru menghasilkan kaligrafi terbakar, potret kayu dan dekorasi dinding pallet terbakar. Perbezaan antara potret terbakar dan potret kayu adalah dari segi buatan tangan di mana potret kayu diperbuat 50 peratus buatan tangan dan 50 peratus buatan mesin.

“Antara produk yang paling mendapat sambutan adalah potret kayu di mana ia sudah terjual kira-kira 300 potret sejak tahun 2017. Potret kayu harganya sekitar RM58 sehingga RM140 mengikut saiz," jelasnya. - BERNAMA

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain