suria

Pelamin ‘colour pop’ citarasa terkini bakal pengantin... Elegan dengan ciri mewah dan minimal

Konsep Colour Pop menjadi trend pelamin masa kini.

MAJLIS perkahwinan pastinya kurang lengkap jika tidak diserikan dengan binaan pelamin yang menjadi tumpuan sempena meraikan hari bahagia pasangan mempelai.

Maka tidak hairanlah apabila singgahsana itu didekorasi seindah mungkin berdasarkan konsep-konsep tertentu mengikut citarasa pasangan pengantin.

Pun begitu, untuk mendapatkan kesan yang cantik dan indah, dekorasi pelamin tidak semestinya perlu mewah.

Malah seiring trend semasa, konsep minimalis juga mampu menonjolkan 'kemewahan' serta menaikkan seri majlis menerusi gabungan pelbagai elemen yang sedondon.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin trauma nak duduk selepas nyaris tersungkur masa bersanding, sikit je lagi jadi ‘pelamin anganku musnah’

Jika sebelum ini dekorasi berasaskan aksesori kristal candelier, platform marble serta lilin hiasan adalah yang paling diminati kerana nampak mengagumkan, namun kini, ratu dan raja sehari lebih gemar memilih hiasan bunga-bungaan.

Namun, mereka menitikberatkan penggunaan warna supaya dapat memberi sentuhan mewah walaupun berkonsepkan minimalis.

Menurut Hafizul Azreen Kamarudin iaitu pengasas butik perkahwinan Chenta Concepts di Kajang, Selangor, kebanyakan mempelai masa kini lebih gemar konsep pelamin colour pop kerana lebih menyerlah, kreatif dan memberi sentuhan estatik.

Konsep monokromatik yang minimalis antara pilihan pengantin.

Konsep monokromatik yang minimalis antara pilihan pengantin.

"Orang sekarang tidak suka konsep pelamin yang 'sarat' dan lebih mengutamakan kesederhanaan supaya pengantin tidak tenggelam," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Berpengalaman lebih sembilan tahun sebagai perancang perkahwinan, pemuda berusia 34 tahun ini berkata, disebabkan penekanan kepada kesederhanaan, bakal pengantin ingin tampil dengan kelainan dan menitikberatkan penggunaan warna, bunga dan kerusi.

Malah ada yang meminta supaya aksesori tambahan dikurangkan pada hiasan pelamin.

"Kalau dahulu, rona-rona monokromatik seperti putih iaitu penggunaan warna satu warna sahaja... tapi sekarang raja dan ratu sehari ni ingin sesuatu yang 'bold' pada pelamin.

"Cuma konsep minimal tanpa aksesori tambahan dikekalkan. Jadi, konsep colour pop tercetus yang mana di sebalik warna monokromatik tu akan terselit satu warna terang," jelasnya.

Pun begitu, ujarnya yang mesra dipanggil Fizul, warna tersebut tidak akan senada dengan baju pengantin sebaliknya menjadi warna tema pelamin mahupun disesuaikan dengan pakaian keluarga pengantin.

Tambahnya, konsep colour pop juga sesuai dilakukan di dewan mahupun rumah.

Fizul merupakan graduan Sains Gunaan yang meminati kerjaya rekaan dalaman.

Fizul merupakan graduan Sains Gunaan yang meminati kerjaya rekaan dalaman.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi beberapa tip buat bakal pengantin yang merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Jemputan

Jika ingin membuat jemputan yang ramai, seeloknya majlis jamuan dibahagikan kepada dua sesi.

Bakal pengantin boleh meletakkan sesi pagi dan petang pada kad jemputan yang mana tetamu boleh hadir mengikut sesi yang ditetapkan.

Langkah ini sekali gus dapat mengurangkan 'kesesakan' pada majlis serta mengelakkan tetamu terpaksa menunggu meja kosong dan pada masa sama dapat memastikan hidangan mencukupi!

Doorgift

Sejak kebelakangan ini, ramai yang gemar memberi makanan seperti bahulu, kek, roti dan sebagainya.

Kalau boleh elakkan memberi makanan kerana bimbang berlaku kerosakan yang boleh mengakibatkan keracunan kepada tetamu.

Wedding coordinator

Individu yang paling penting! Bakal pengantin yang ingin mengadakan majlis secara besar-besaran perlu ada wedding coordinator bagi mengelakkan majlis anda 'dirosakkan' seperti kejadian makcik baju merah yang tular baru-baru ini.

Pesan juga kepada koordinator itu supaya memakai baju berwarna lembut supaya tidak overshadow pengantin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain