suria

Memanah Sumbang Dua Emas

Skuad memanah recurve wanita meraikan kejayaan mereka. foto AZHAR MAHFOF/THE STAR

KUALA LUMPUR: Pasukan recurve lelaki dan wanita cemerlang selepas meraih dua pingat emas di Sukan SEA ke-29 di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Isnin.

Pasukan lelaki yang dibarisi Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin mempertahankan pingat emas yang diraih di Singapura selepas kalahkan Thailand (Denchai Thepna, Natthapoom Phusawat dan Witthaya Thamwong), 5-1.

Pingat gangsa dimenangi pasukan Filipina (Florente Matan, Luis Gabriel Moreno dan Mark Javier) selepas tundukkan pasukan Vietnam (Chu Duc Anh, Hoang Van Loc dan Van Duy Nguyen), 6-0.

Pasukan wanita terdiri daripada Nur Afisa Abdul Halil, Nur Aliya Ghapar dan Nuramalia Haneesa Mazlan menang 5-1 keatas pasukan Indonesia (Diananda Choirunisa, Linda Lestari dan Titik Kusumawardani) yang mendapat 'bye' di saingan suku akhir.

Kejayaan itu memperbaiki pencapaian skuad recurve wanita di Singapura yang meraih pingat gangsa sekali gus menamatkan kemarau pingat emas selama 12 tahun apabila kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara ini adalah pada 2005 di Sukan SEA Manila.

Pingat gangsa acara recurve berpasukan wanita diraih oleh pasukan Filipina (Kareel Meer Hongitan, Mary Queen Ybanez dan Nicole Marie Tagle) selepas tewaskan Vietnam (Le Thi Thu Hien, Loc Thi Dao dan Thi Phuong Nguyen) 6-0. - BERNAMA

memanah recurve, KL2017

Artikel Berikut

Artikel Lain