suria

Futsal Wanita Bermula Baik, Tewaskan Myanmar 2-1

Pasukan futsal wanita negara meraikan kemenangan ke atas Myanmar 2-1 pada perlawanan futsal wanita KL2017 di gelanggang futsal Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, malam Jumaat. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Aksi pertama skuad futsal wanita Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Kompleks Sukan Panasonic di sini bermula baik apabila menewaskan Myanmar 2-1.

Malaysia, yang juga penyandang pingat gangsa pada edisi ke-28 bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pertama pasukan lawan pada minit kedua menerusi Pa Pa Win.

Susulan jaringan itu, pasukan bimbingan ketua jurulatih, Muizzudin Mohd Haris sedikit hilang rentak ditambah ketumpulan sentuhan penyudah apabila beberapa percubaan menjaringkan gol tersasar.

-fotoBERNAMA

Namun, skuad negara kembali fokus dan bangkit pada babak kedua apabila pemain gantian, Zur'ain Kamarudin menyumbat gol pertama Malaysia pada minit ke-36.

Kompleks Sukan Panasonic sekali lagi gemuruh dengan tepukan dan sorakan penyokong Malaysia apabila Norhawa Md Yasin menambah satu lagi jaringan untuk skuad negara berselang tiga minit selepas itu.

Sementara itu, Muizzudin dalam sidang media selepas itu mengakui bahawa pemainnya 'lambat panas' pada sepuluh minit awal malah banyak melakukan kesilapan yang mudah.

"Kita banyak sia-siakan peluang gol. Kesudahan juga agak tumpul. Tujuh atau lapan gol boleh terhasil jika pemain lebih bersabar dalam serangan.

"Kami akan cuba perbaiki benteng pertahanan dan bahagian serangan yang dilihat agak longgar dalam menghadapi perlawanan seterusnya iaitu menentang Indonesia pada Ahad ini," katanya.

Ketua jurulatih pasukan Myanmar, Htay Myint pula menyatakan corak permainan skuad Malaysia yang banyak menyerang pada separuh masa kedua membolehkan skuad negara menyamakan kedudukan dan seterusnya menambah jaringan.

-Bernama
futsal wanita, KL2017

Artikel Sebelum

Keputusan Kejuaraan

Artikel Berikut

Warna-Warni KL2017, Jumaat

Artikel Lain