suria

Covid-19 ubah senario bola sepak dunia.... stadium tanpa penyokong buat peminat frust

Penularan wabak koronavirus ancam beberapa liga utama di Eropah. Foto: Goal.com

PENULARAN wabak koronavirus (Covid-19) sudah tentu merisaukan semua pihak. Mana tidaknya, sudah lebih 60 negara yang dilaporkan terpalit dengan jangkitan berbahaya ini.

Begitu juga dengan dunia bola sepak. Pastinya peminat sukan ini kecewa dengan pembatalan perlawanan demi perlawanan akibat Covid-19 yang mula merebak dari Wuhan, China.

Berikut merupakan negara-negara yang mempunyai kes atau isu berkaitan wabak yang meragut ribuan nyawa ini.

Itali

Itali merekodkan jumlah kes terbesar di Eropah dengan 650 orang disahkan positif jangkitan Covid-19 dengan 17 kematian.

Kawasan utara negara tersebut merupakan tempat yang paling ramai dijangkiti menyebabkan perlawanan bola sepak diadakan secara tertutup iaitu tanpa kehadiran penonton.

Lima perlawanan yang dijalankan secara tertutup adalah perlawanan antara pendahulu liga Juventus menentang Inter Milan di Turin.

Sementara empat pelawanan lain adalah Udinese menentang Fiorentina, AC Milan menentang Genoa, Parma menentang SPAL dan Sassuolo bertemu dengan Brescia.

Dalam pada itu tarikh perlawanan akhir Coppa Italia juga dianjakkan ke Mei depan.

Penyokong yang hadir ke stadium memakai topeng muka ketika perlawanan antara AS Roma menentang Lecce pada 23 Februari lalu. Foto: REUTERS

England

Di England timbul ura-ura perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris juga akan diadakan tanpa kehadiran penonton.

Ini selepas perbincangan yang diadakan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) dan Liga Perdana (EPL).

Perlawanan antara England dan Itali pada 27 Mac ini juga besar kemungkinan akan ditunda ke tarikh lain.

Tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan jadual berlaku sehingga pihak berkenaan mendapat nasihat kerajaan.

Sementara itu, bintang Manchester United, Odion Ighalo yang baru menyertai secara pinjaman dari kelab China, Shanghai Shenhua tidak dibenarkan menyertai kelab baharunya untuk beberapa minggu kerana faktor Covid-19.

Beberapa kelab di EPL juga berpendapat tidak perlu berjabat tangan sesama pemain bagi mengelak penularan penyakit tersebut.

Odion Ighalo dikuarantin beberapa minggu sebelum dibenarkan menyertai sesi latihan Manchester United. Foto: AFP

Jerman

Di Jerman pula, pasukan gergasi Borussia Dortmund telah membatalkan siri perlawanan persahabatan di benua Asia pada musim panas ini.

Menurut pengarah urusan kelab, mereka memohon maaf akan pembatalan perlawanan tersebut dan akan mencari tempat baharu yang bebas 100 peratus daripada risiko jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, perlawanan yang berlangsung antara Red Bull Leipzig dan Bayer Leverkusen terdapat sedikit kekecohan apabila 20 penyokong dari Jepun dihalau daripada stadium.

Insiden yang berlaku 10 minit selepas sepak mula itu selesai selepas wakil kelab telah berjumpa dengan penyokong yang terlibat dan menganggap ia sebagai salah faham.

Dikhabarkan kesemua 20 penyokong tersebut mendapat jemputan istimewa bagi menonton perlawanan Red Bull Leipzig yang akan datang.

Seramai 20 orang penyokong berbangsa Jepun dihalau keluar dari stadium semasa perlawanan antara Red Bull Leipzig dan Bayer Leverkusen. Foto: AFP

China

Kesemua perlawanan Liga Super China bagi musim 2020 yang dijadualkan bermula pada 22 Februari lalu ditangguhkan sehingga keadaan wabak itu menjadi reda.

Perkara ini semestinya memberi kesan kepada beberapa nama besar yang beraksi dalam liga tersebut untuk mendapatkan masa bermain dengan mencari kelab baharu.

Antara bintang yang terkenal di liga tersebut ialah Mousa Dembele, Yannick Carrasco, Javier Mascherano, Paulinho, Marouane Fellaini, Oscar dan Hulk.

Dalam pada itu, perlawanan yang melibatkan skuad kebangsaan China juga akan ditunda pada April dan Mei.

Artikel Lain