suria

Rindu sarung jersi negara, Thanabalan mahu bangkit tawan padang - “Semangat saya masih seperti dulu”

Thanabalan (kiri) mengakui merindui zaman kegemilangan bersama skuad negara.

HAMPIR tiga tahun nama N.Thanabalan jarang dilihat di dada akhbar dan kaca televisyen berbanding sebelum ini, malah pernah melalui saat dirinya dijulang keika bersama skuad Harimau Malaya dan Bawah 23 Tahun.

Bagi peminat-peminat bola sepak tempatan, jangan lupa bahawa Thanabalan masih aktif bermain bola sepak, cuma memerlukan sedikit masa untuk bangkit kembali.

Pemain sayap berusia 25 tahun ini kini bersama pasukan Perak II atau sebelum ini dikenali PKNP FC di bawah jurulatih Abu Bakar Fadzim.

ARTIKEL BERKAITAN: 

mStar sempat menemubual mengenai perkembangan terkini bekas penjaring terbanyak Sukan Sea 2017 ini yang kini kekal di musim baharu bersama pasukan Bos Gaurus ini.

Aksi Thanabalan ketika bersama skuad negara.

Perkembangan terkini

Menurut Thanabalan, dia kini gembira bersama pasukan Perak II yang beraksi dalam Liga Perdana dan mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dengan menunjukkan prestasi terbaiknya.

“Saya dalam proses pemulihan gara-gara kecederaan di bahagian lutut ketika sesi latihan baru-baru ini dan yakin ia akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi.

“Ya, jauh di sudut hati saya rindukan aksi terbaik seperti tiga tahun lalu. Namun dalam masa sama saya sedar dengan persaingan daripada pemain-pemain lain.

Ya, jauh di sudut hati memang saya rindukan untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan mahu membantu skuad negara.

N.THANABALAN

[Pemain Sayap Perak II

"Sebab itu, saya bertekad akan cuba bangkit kembali menawan padang dan paling penting membalas kepercayaan jurulatih. Dia sudah berjanji dengan saya untuk membantu memulihkan semangat saya supaya dapat momentum yang lebih baik,” jelas pemain kelahiran Rantau, Negeri Sembilan ini.

Skuad negara

Jelas Thanabalan, peluang untuk meraih tempat dalam skuad negara bukan mudah dan dia perlu bekerja keras.

“Dalam skuad negara sekarang ini ramai pemain-pemain yang hebat, tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk bersaing.

“Setiap peluang yang saya dapat ini akan digunakan sebaik mungkin. Kali terakhir dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya pada 2017 untuk persiapan Sukan Asia, tapi malangnya ketika itu saya mengalami kecederaan.

“Saya berharap masih ada harapan lagi untuk beraksi bersama skuad negara,” ujarnya.

Thanabalan berkongsi gambar bapanya di Instagram.

Keluarga

Kata Thanabalan lagi, dia bersyukur kerana keluarga dan kawan-kawan sentiasa memberi sokongan dalam karier bola sepaknya.

“Seperti sebelum ini, saya pernah beritahu bahawa bola sepak adalah punca rezeki saya untuk menanggung ahli keluarga memandangkan saya anak sulung, lebih-lebih lagi selepas bapa lumpuh akibat kemalangan pada 2013.

“Ibu saya masih sihat dan sokongan keluarga masih kuat menyokong saya sebagai pemain bola sepak.

“Mereka sentiasa ada ketika saya jatuh bangun dan paling penting dengan doa ibu bapa, saya masih bergelar pemain bola sepak… bidang yang saya sayangi,” ujarnya yang mempunyai dua adik yang menjadi tanggungjawabnya.

Thanabalan (kiri) bersama ahli keluarganya.

Harapan musim 2020

Dengan pengurusan baharu, bekas pemain Kedah ini yakin sentuhan jurulatih Abu Bakar akan menjadi pesaing dalam pasukan Liga Perdana.

“Semua pemain mempunyai kelebihan masing-masing. Kami sebagai pasukan feeder pastinya tidak mahu dianggap sebagai pasukan simpanan, sebaliknya mahu membuktikan mampu memberi saingan kepada pencabar lain.

“Cuma harapan saya agar tidak akan berlaku lagi kecederaan serius yang boleh mengganggu tumpuan dan fokus musim ini,” katanya.

Artikel Lain