suria

“Orang kampung minta mak jangan hantar saya ke mana-mana” - Pemain bola sepak kebangsaan

Azwan serta rakan-rakan yang senasib dengannya juga terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

WALAUPUN ramai golongan cacat penglihatan yang telah berjaya baik di Malaysia mahupun di luar negara, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang rendah keupayaan golongan ni.

Namun bagi Mohd Azwan Azhar, 26, situasi ini tidak mematahkan semangat malah menjadi dorongan untuk dirinya membuktikan bahawa golongan cacat penglihatan juga boleh berjaya.

Dilahirkan celik, Azwan, yang juga pemain bola sepak orang buta Malaysia, mula kehilangan penglihatannya ketika berusia 10 tahun.

Azwan hilang penglihatan pada usia 10 tahun.

“Masa saya tak nampak, orang kampung minta mak jangan hantar saya ke mana-mana. Orang kampung ingat orang buta ini tidak boleh berjaya.

“Jadi, nak tak nak, orang cacat penglihatan kena buktikan apa kejayaan mereka,” ujar Azwan yang membantu pasukan negara menjadi juara Asia Tenggara pada tahun 2015.

Selain terpaksa berdepan dengan segelintir masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai diri mereka, Azwan serta rakan-rakan yang senasib dengannya juga terpaksa berdepan pelbagai cabaran lain demi masa depan yang lebih baik.


Azwan dan keluarga.

Kisah mereka ini bakal ditayangkan dalam sebuah dokumentari berjudul ‘Eye On The Ball’ yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 19 Mac ini.

Filem arahan Chen Yih Wen ini diterbitkan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE, daripada Star Media Group.

Orang ramai yang ingin menyatakan sokongan kepada pasukan kebangsaan sambil membantu golongan kelainan upaya ini boleh berbuat demikian dengan menonton filem ini di pawagam.

Azwan membuktikan bahawa golongan cacat penglihatan juga boleh berjaya.

Sebahagian daripada dana terkumpul hasil jualan tiket bakal disalurkan ke Kelab Bola Sepak Pan-Disability, iaitu sebuah badan yang membantu golongan kelainan upaya termasuk kudung dan cacat mental, untuk mengubah hidup mereka menggunakan platform sukan.

Dana ini bakal digunakan mereka untuk membina sebuah pusat latihan bola sepak khas yang akan turut dilengkapi ruang niaga bagi kegunaan masyarakat kelainan upaya.

Orang cacat penglihatan kena buktikan apa kejayaan mereka, kata Azwan

Projek Eye On The Ball ini turut mendapat sokongan Yayasan CIMB, yang juga merupakan antara kumpulan terawal yang memperjuangkan nasib komuniti cacat penglihatan di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di www.eyeontheballfillm.com

Mohd Azwan Azhar, buta

Artikel Lain