PRESTASI atlet terjun Amerika Syarikat (AS), Alison Gibson dalam acara tiga meter papan anjal individu wanita menghampakan selepas terbabit dalam insiden ngeri. Pada percubaan pertamanya, kaki Alison menghentam papan anjal ketika membuat terjunan sekali gus merosakkan corak kemasukannya ke dalam air. Ia menyebabkan berlakunya dentuman kuat serta percikan air yang banyak, sudah tentunya mengaibkan untuk mana-mana peserta papan anjal. Terjunan Alison meraih markah sifar kerana dianggap gagal memenuhi kriteria yang sepatutnya. Walaupun memulakan acara dengan langkah kiri, Alison tetap komited menyempurnakan baki empat terjunannya. Perjalanan Alison yang berusia 25 tahun dalam Olimpik Paris bagaimanapun dinoktahkan apabila dia menduduki tempat terakhir. "Tumit dan kaki saya terkena pada papan. Saya mengalami luka dan lebam di tumit kanan, sudah tentunya saya merasa sakit, tetapi saya bertekad untuk teruskan. Ia adalah mengenai perjuangan dan tidak mudah menyerah kalah. "Saya berharap penonton juga boleh mengambil inspirasi daripada kejadian ini, perkara paling penting adalah untuk mencuba," ujar Alison optimis ketika ditemu bual pemberita. Alison sebelum ini juga mencatat kedudukan terakhir dalam Olimpik Tokyo 2020 untuk acara tiga meter papan anjal seirama. - Daily Mail Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube