suria

Hamidin dipilih presiden MFL baharu

Hamidin dilantik sebagai presiden MFL yang baharu menggantikan Tunku Ismail.

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Haji Mohd Amin dipilih sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) menerusi undian Ahli Lembaga Pengarah dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019 yang berlangsung pada Sabtu.

Pemilihan Hamidin itu dibuat selepas pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 23 rakan kongsi bersetuju untuk meminda Perlembagaan MFL di mana status jawatan pengerusi ditukar kepada presiden dengan calon untuk menduduki kerusi tertinggi itu adalah di kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan  Hamidin dipilih mengambil alih teraju MFL daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu  Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi MFL sebelum ini.

Menurut Hamidin, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pemegang taruh MFL selain menganggap ia satu tanggungjawab dan amanah cukup besar.

“Ini satu penghormatan besar diberikan oleh semua pemegang taruh MFL dan dalam masa yang sama cabaran berat untuk saya pikul. Saya akan berusaha untuk memegang amanah ini dengan baik namun saya mengharapkan sokongan padu semua pihak untuk bergerak sama melaksanakan gagasan yang sudah diasaskan oleh Tunku Ismail.

“Saya sebenarnya berat untuk memikul jawatan ini tetapi atas kepercayaan yang diberikan daripada Rakan Kongsi Liga dan demi stabilkan keadaan untuk bola sepak negara, saya bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya.

Tambah Datuk Haji Hamidin, beliau menagih sokongan semua pihak untuk mengimbangi tuntutan selaku Presiden FAM dan Presiden MFL.

Hamidin, 54 memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk naib presiden, ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan sebelum diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM di bawah pentadbiran Al Sultan Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM pada 2014 hingga 2017.

Susulan peletakan jawatan Tunku Ismail selaku presiden FAM pada awal 2018, Hamidin dipilih sebagai pengganti pada Julai tahun yang sama.

Sementara itu pertukaran Ahli Lembaga Pengarah MFL menyaksikan Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga merupakan Naib Presiden FAM dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL menggantikan Hamidin.

Datuk Hamidin, FAM, MFL

Artikel Lain