suria

Farkhan intai gelaran profesional keempat

Farkhan akan menentang Alexander Bajawa dari Indonesia yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand pada 30 Jun ini. Foto: Bernama

PENINJU profesional negara, Muhammad Farkhan Haron menyasarkan kejuaraan keempat dalam karier profesionalnya apabila bakal berdepan penyandang tali pinggang Cruiserweight kejuaraan Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia, Alexander Bajawa di Pattaya, Thailand, 30 Jun ini.

Peninju kelahiran Johor itu yang memulakan karier profesionalnya pada 2015, bagaimanapun menegaskan, dia menghormati lawannya dari Indonesia itu yang mencatat rekod cemerlang dengan 43 kemenangan, lapan kekalahan dan empat keputusan seri.

Muhammad Farkhan, 31, yang memegang rekod sembilan kemenangan tanpa kalah, mengakui kejayaan mengalahkan Bajawa pada pertarungan tanpa gelaran di Bangkok, Disember lepas, adalah berbeza pada perlawanan kali ini membabitkan perebutan tali pinggang.

"Dia merupakan bekas juara Persatuan Tinju Asia (WBA) dan Organisasi Tinju Dunia (WBO) dan sangat berpengalaman, selain masih bertahan walaupun menjangkau usia 37 tahun, tapi saya yakin dengan diri saya untuk atasinya,” katanya pada sidang media, Isnin.

Dalam pada itu, bekas peninju kebangsaan itu menjelaskan dia telah menjalani latihan intensif sejak beberapa minggu lepas di Singapura dan Indonesia di bawah jurulatih peribadinya, Zulkifli Yaacob yang menjadi nadi kejayaannya meraih pingat emas sebanyak empat kali berturut-turut pada Sukan Malaysia (Sukma).

Muhammad Farkhan mengakui latihan di Singapura menjadi medan terbaik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Bajawa kerana rakan sepelatih di sana, mempunyai keadaan fizikal yang hampir dan lebih besar daripada dirinya.

“Saya cuma ada masa kurang dua minggu untuk menurunkan berat badan saya daripada 96kg kepada 90kg sebelum 29 Jun ini kerana berat saya akan ditimbang pada hari berkenaan sebelum bertarung pada keesokan harinya,” jelasnya.

Untuk rekod, Muhammad Farkhan memenangi tali pinggang kategori Cruiserweight WBC Asia di Singapura pada 2016, disusuli tali pinggang kategori Light Heavyweight WBC Asia di Johor Bahru pada 2017.

Beliau terus mengharumkan nama negara setelah meraih tali pinggang kategori Cruiserweight Persekutuan Tinju Asia (ABF) di Manila, tahun lepas.- Bernama

Muhammad Farkhan, tinju, Asia

Artikel Lain