Zainal Abidin beri peringatan supaya lebih berdisiplin, fokus - Sukan | mStar

Zainal Abidin beri peringatan supaya lebih berdisiplin, fokus

Pemain Melaka United N’Guessan Davy Claude Angan (kanan) diasak pemain Terengganu FC Nasrullah Haniff Johan pada Perlawanan Bola Sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat. Foto: Bernama
PENGENDALI

Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan menuntut pasukan bimbingannya untuk lebih berdisiplin dalam tempoh 90 minit permainan supaya episod sama tidak berulang apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 pada perlawanan Liga Super menentang pasukan Terengganu di laman sendiri.

Zainal Abidin berkata para pemain perlu bangkit serta mempertingkatkan prestasi bagi aksi seterusnya menentang Kuala Lumpur di tempat lawan, Rabu ini untuk meraih kemenangan bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang merebut tempat di kelompok teratas liga.

“Kita kena baiki secepat mungkin segala kelemahan yang ada selain memperkemaskan di segenap bahagian dalam pertemuan itu nanti terutamanya apabila kita bermain di luar.

“Apa yang perlu ditekankan ialah disiplin para pemain, mereka tidak boleh terleka sehingga belum tamat pemainan selain tidak beri ruang kepada pasukan lawan hingga menyebabkan kita kehilangan kelebihan jaringan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, hasrat Melaka United untuk menduduki tangga ketiga Liga Super tidak kesampaian selepas diikat 3-3 oleh Terengganu FC pada aksi di Stadium Hang Jebat, biarpun mendahului pelawat.

Skuad Sang Kancil mendahului 2-0 menerusi gol pertama peribadi Davy Angan pada minit ke-17 dan Luka Milunovi pada minit ke-30 sebelum Terengganu merapatkan jurang menerusi jaringan oleh Sanjar Shaakmedov pada minit ke-41.

Pada minit ke-47, Angan sekali lagi menjaringkan gol untuk Melaka United melebarkan kedudukan namun skuad bimbingan jurulatih Mohd Nafuzi Zain tidak mudah berputus asa dan memanfaatkan peluang kelonggaran pertahanan tuan rumah bagi menyamakan kedudukan menerusi hatrik Shaakmedovyang menambah jaringan pada minit ke-72 dan 81 untuk berkongsi satu mata.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku terutama pada babak kedua selepas penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan penalti yang diambil Lee Tuck pada minit ke-58, para pemain sebaliknya membuka peluang kepada lawan selain mensia-siakan peluang yang menyebabkan pasukannya dihukum dengan keputusan seri itu.

Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata keputusan seri itu memberi kelegaan kepada pasukannya selepas mengalami tiga kekalahan selain berpuas hati dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan anak-anak buahnya menyaingi tuan rumah.

Melaka United kini berada di tangga kelima Liga Super selepas mengutip 23 mata, manakala Terengganu di kedudukan ketujuh dengan 21 mata. -Bernama

Melaka Unitred , Zainal Abidin , Liga Super

Artikel Berkaitan

Artikel Lain