Hoki wanita: Impian ke Sukan Olimpik buat kali pertama berkecai - Sukan | mStar

Hoki wanita: Impian ke Sukan Olimpik buat kali pertama berkecai

Gambar fail skuad wanita negara.

SKUAD hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk muncul di pentas Sukan Olimpik buat pertama kali apabila peluang ke temasya edisi 2020 di Tokyo tertutup selepas tewas 3-0 kepada Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland.

Kekalahan yang sudah diduga itu menyebabkan skuad bimbingan Muhamad Dharma Raj Abdullah gagal meraih dua slot untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini.

Susulan kekalahan itu, skuad Malaysian Tigress akan bertemu dengan Republik Czech pada perlawanan penentuan tempat ketiga manakala tuan rumah Ireland akan menentang Korea Selatan di pentas final pada Ahad.

Sebelum itu, Ireland mengalahkan Republik Czech 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Korea Selatan, yang memiliki ranking ke-11 dunia, memulakan jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Cho Hyein diikuti Kim Hyunji pada minit ke-17 sebelum Cheon Eunbi menutup tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-48.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan pada edisi 1980 di Moscow.- Bernama

Hoki wanita , FIH , Sukan Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Mbappe idam aksi Sukan Olimpik

Artikel Lain