suria

Hajat Griezmann pindah ke Barcelona diketahui sejak Mac - CEO Atletico

Antoine Griezmann.

ATLETICO Madrid sudah mengetahui pemainnya, Antoine Griezmann akan menyertai Barcelona pada musim panas ini sejak Mac lalu.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gil Martin kepada stesen radio Sepanyol, Radio Estadio pada Rabu.

Pemain berusia 28 tahun itu mengesahkan hasratnya untuk meninggalkan Atletico bulan lalu.

"Saya amat yakin di mana dia akan beraksi, ia sudah diketahui sejak Mac, di Barcelona," katanya.

Griezmann membantu Perancis menundukkan Andorra 4-0 malam Selasa.

Bekas penyerang Real Sociedad itu yang menyertai Atletico pada 2014 masih berteka-teki mengenai masa depannya selepas perlawanan kelayakan Euro 2020.

"Ada keperluan untuk bersabar kerana ia masih awal. Seperti saya katakan, saya tahu ke mana saya mahu pergi. Saya mahu masa depan saya ditentukan lebih daripada sesiapa tetapi ada keperluan untuk menunggu.

"Saya tidak tahu jika saya akan kekal di Sepanyol. Mungkin dalam dua minggu lagi kita akan tahu sesuatu," katanya. - Eurosports.com

Artikel Lain