suria

Air mata seorang jaguh! Chong Wei sebak umum persaraan... “Kesihatan saya lebih penting”

Chong Wei gagal menahan sebak semasa membuat pengumuman tersebut.

SEBAK! Itulah reaksi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei apabila mengumumkan persaraannya dalam sukan tersebut pada Khamis.

Keputusan untuk bersara itu diambil selepas mengambil kira nasihat doktor susulan pemeriksaan perubatan terbaharu terhadap penyakit kanser hidungnya di Taiwan baru-baru ini.

Chong Wei mengumumkan keputusan yang sukar itu dalam satu sidang media khas yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Chong Wei kembali ke gelanggang tiga bulan lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Filem Kisah Hidup Lee Chong Wei Bakal Cipta Sejarah

"Terima kasih kepada semua jurulatih saya selama ini terutama Datuk Misbun Sidek dan semua yang telah membantunya selama ini," jelasnya dalam nada sebak.

Chong Wei ditenangkan Syed Saddiq.

Pada masa sama, Chong Wei berkata dia sudah membincangkan keputusannya itu dengan isterinya, Datin Wong Mew Choo.

"Dia menasihatkan saya berehat. Saya berehat dan turut berbincang dengan (Menteri Belia dan Sukan) Syed Saddiq.

"Saya berkata, selepas Hari Raya, saya akan bersara. Kesihatan saya lebih penting," katanya.

Chong Wei bersara selepas 19 tahun berbakti kepada arena sukan badminton negara dan merupakan legenda, ikon dan idola kepada rakyat Malaysia.

Antara pencapaian besar atlet kelahiran Pulau Pinang itu adalah pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Spekulasi semakin hangat apabila Chong Wei dikatakan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan bagi mencegah kanser hidung.

Artikel Lain