suria

Filem Kisah Hidup Lee Chong Wei Bakal Cipta Sejarah

Peminat bakal menyaksikan filem pertama mengenai kehidupan Lee Chong Wei di Stadium Nasional.

KUALA LUMPUR: Filem yang mengisahkan tentang kehidupan pemain badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei bakal bertemu penonton pada 9 Mac depan.

Peminat badminton berpeluang menjadi penonton pertama melihat tayangan sulung filem versi tambahan berdurasi 133 minit itu di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem, Datuk Joe Lee memberitahu Chong Wei belum lagi sempat menonton filem tersebut dan buat pertama kali akan menyaksikannya bersama penonton yang hadir.

"Chong Wei belum lagi menonton filem berkenaan dan akan menyaksikannya buat pertama kali bersama penonton yang hadir pada majlis yang berlangsung pada 9 Mac.

"Ia akan menjadi majlis istimewa buat Chong Wei dan semua yang hadir," katanya.

Filem arahan Teng Bee itu akan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter X 17 meter, sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.

Kisah kehidupan Lee Chong Wei bakal bertemu peminatnya.

Ia dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 20,000 penonton dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Dalam majlis berkenaan, peminat juga boleh menyaksikan acara Permaidani Merah sepanjang 100 meter yang mengalu-alukan kedatangan jaguh-jaguh badminton tanah air, para pelakon filem ini serta tetamu selebriti.

Dalam pada itu, pihak penganjur akan turut menjemput skuad badminton Negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 ke acara penuh bermakna ini.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan para penyanyi popular yang bakal diumumkan kelak.

Sekurang-kurangnya 10 gerai penaja akan diadakan di dalam Stadium Nasional dan ia akan bermula sebaik pintu stadium dibuka untuk penonton bermula pukul 4 petang.

Tiket untuk acara berharga RM88, RM108, RM128 dan RM168 boleh dibeli menerusi laman web WWW.MYTICKET.ASIA mulai 20 Januari 2018.

Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh dikemukakan di talian +603 8605 0195.

Selain itu, pembeli tiket juga berpeluang memenangi hadiah menarik untuk cabutan bertuah seperti raket badminton YONEX LEE CHONG WEI sebanyak 100 unit, telefon pintar SAMSUNG (5 unit), buku filem (30 unit) dan pelbagai lagi hadiah menarik disediakan.

Datuk Wira Lee Chong Wei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain