suria

Kedah fokus aksi suku akhir Piala FA

Aksi pemain-pemain Kedah ketika cuba melepasi asakan pemain Selangor Mohd Syazwan Zainon (kiri) ketika saingan Liga Super pada Jumaat.

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak menggesa pemainnya memberi tumpuan sepenuhnya pada aksi suku akhir Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, 30 April ini, selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini.

Dia juga mahu setiap pemain memberi komitmen 100 peratus dalam perlawanan itu memandangkan PKNS FC bukanlah lawan yang mudah kerana pasukan itu mempunyai kekuatan tersendiri.

Menurutnya, kemasukan semula beberapa pemain tonggak utama Kedah yang cedera dan digantung perlawanan sebelum ini, juga dijangka mampu mengembalikan mutu permainan dan memperbaiki kelemahan pasukan.

“Kita berharap kemasukan semula Mohamad Zaquan Adha Abd Razak serta Shakir Hamzah dapat memantapkan lagi pasukan dan bermain pada tahap sebenar corak permainan Kedah.

“Kami perlu benar-benar fokus untuk membawa pulang mata, namun pada masa sama kami perlu berwaspada dengan setiap gerakan pasukan lawan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan bertemu Selangor Jumaat malam.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Aidil Sharin berkata walaupun hanya berkongsi satu mata berdepan Selangor, kesungguhan ditunjukkan pemain harus dipuji.

“Sejujurnya mereka bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang serta mendominasi permainan dan semua pemain telah memberikan komitmen walaupun gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang sehinggalah gol kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-40,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, B. Sathianathan berkata ketiadaan dua pemain import berbisa Rufino Segovia dan Endrick Dos Santos menyebabkan setiap serangan tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain yang bermain dengan baik, tapi kecewa tidak dapat tiga mata kerana gagal menyempurnakan banyak peluang.

“Tapi itulah, kalau kita tidak ada penyerang tulen memang susah sebab yang ada mereka gopoh di depan pintu gol,” katanya.- Bernama

Kedah, Piala FA, Suku Akhir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain