suria

Prestasi buruk KL dorong Yusri Che Lah letak jawatan

YUSRI Che Lah mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Kuala Lumpur berkuat kuasa serta-merta selepas pasukan itu gagal mengutip sebarang mata dalam kempen awal Liga Super musim ini.

Selepas lima perlawanan, skuad ‘ The Hawks' tewas dalam semua perlawanan dan berada dalam kedudukan tercorot liga.

Yusri berkata keputusan itu dibuat selepas mencapai persetujuan bersama dalam satu perbincangan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Isnin.

Katanya, tindakan itu diambil atas dasar tanggungjawab demi kebaikan dan kepentingan pasukan tanpa dipengaruhi oleh desakan penyokong ekoran pencapaian merosot pasukan itu yang baru dibimbingnya selama 13 minggu.

“Sebagai seorang yang perlu bersikap jujur, saya terima bahawa saya perlu membuat keputusan walaupun saya sedar tidak semua orang melihat (kesukaran menghadapi) lima perlawanan dengan pasukan berstatus juara iaitu Pahang, JDT, Terengganu, Melaka dan Selangor.

“Jadi, sekiranya saya gagal ataupun tidak mampu membawa pasukan untuk memberi cabaran yang lebih baik, saya rela dikenakan tindakan walaupun sedar sehingga hari ini majikan saya masih belum memberikan apa-apa tindakan terhadap saya, “ kata bekas jururlatih Kelantan itu pada sidang media.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu membebankan pihak pengurusan yang telah banyak membantu beliau dalam membaik pulih pasukan sebelum ini.  Malah, jurulatih kelahiran Perlis itu turut menafikan ada pemain khususnya pemain import yang mempunyai niat ‘membunuh' karier beliau.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, katanya beliau mahu berehat buat sementara waktu.

Yusri sebelum ini berjaya membawa Kelantan layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia setelah pasukan itu dilanda kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super dan kini bersaing dalam Liga Premier.

Dalam kempen Liga Super musim ini, Kuala Lumpur tewas 3-1 kepada Pahang dalam aksi pembukaan liga di laman sendiri dikuti empat kekalahan iaitu1-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengghanu (0-1), Melaka United (0-2) dan 2-3 kepada Selangor.  -- Bernama

Yusri, KL

Artikel Lain