suria

Piala Sumbangsih 2019: Misi berat tapi tak mustahil buat Perak, Johor

Hariss Harun (kiri) dan Shahrul memegang trofi Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan kedua-dua pasukan malam Sabtu. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

PERAK meletakkan misi yang dianggap sukar sebagai tidak mustahil apabila bertekad merampas Piala Sumbangsih milik Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan yang juga pembuka tirai Liga Super di Stadium Larkin, di sini, malam Sabtu.

Meskipun tahu bakal berdepan dengan tentangan sengit JDT, yang memiliki kelompok pemain terbaik di negara ini, namun skuad The Bos Gaurus berjanji tidak akan memberi laluan mudah untuk juara Liga Super musim lalu itu mempertahankan Piala Sumbangsih.

Ketua julatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, anak buahnya kini dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menampilkan aksi cemerlang bagi menumpaskan JDT.

Bagaimanapun, dalam keghairahan itu, beliau tidak memandang rendah kekuatan yang dimiliki pemain skuad Harimau Selatan, apatah lagi ketika perlawanan berlangsung di gelanggang lawan.

“Saya hanya boleh berjanji bahawa kapten dan pemain saya akan cuba yang terbaik dan tidak sabar menyajikan permainan yang amat baik menentang JDT,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini Jumaat.

Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad berkata rakan sepasukannya lebih daripada bersedia dalam menghadapi perlawanan tersebut.

Beliau mengakui pasukan JDT mempunyai barisan pemain yang berkualiti manakala skuad The Bos Gaurus memiliki semangat yang tinggi.

“Bagi saya, perlawanan ini merupakan peluang terbaik untuk Perak buktikan bahawa kami juga adalah pasukan terbaik di Malaysia," katanya.

Sementara itu, kapten JDT, Hariss Harun mengakui faktor beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada pasukannya untuk memperoleh keyakinan berdepan dengan Perak.

"Bermain di Larkin pasti memberikan kelebihan kepada kami kerana beraksi di hadapan peminat dan bermain di padang yang kami sudah biasa. Cuma kami perlu fokus agar tidak mudah lalai,”katanya.

Perlawanan tersebut bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah akan bermula jam 9 malam Sabtu. - BERNAMA

Piala Sumbangsih, Perak, JDT

Artikel Lain