suria

"Home United dengan cara mereka" - Aidil Sharin anggap pertemuan malam ini bukan sekadar perlawanan persahabatan

-foto Facebook Kedah FA

WALAUPUN sekadar berstatus perlawanan persahabatan, namun pertemuan antara Kedah menentang Home United dari Singapura pada malam Sabtu membawa makna yang berlainan buat Aidil Sharin Sahak.

Ketua jurulatih Kedah itu merupakan bekas pengendali Home United pada musim lalu dan jasanya untuk kelab berkenaan juga tidak mungkin akan dilupakan begitu sahaja.

Ini kerana, Aidil Sharin berjaya membawa Home United yang berada di ranking 132 kelab Asia ke kedudukan ke-60.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran dilaluinya sehinggalah beliau meninggalkan kelab tersebut untuk membimbing skuad hijau kuning.

-foto FB Kedah FA

Aidil Sharin memberitahu, Home United sangat dekat di hatinya selepas berusaha keras menaikkan pasukan berkenaan selama ini.

Namun jelasnya, apabila wisel perlawanan persahabatan itu bermula, Kedah menjadi keutamaan dan kemenangan menjadi sasaran seluruh skuad hijau kuning.

"Home United dengan cara mereka, dan Kedah juga mempunyai kelebihan tersendiri yang kita sedang bentuk, saya yakin semua pemain dapat memberikan yang terbaik sebagai persediaan memulakan Liga Malaysia.

"Setelah melalui tiga perlawanan ujian di Krabi, pemain sudah menunjukkan persefahaman dan kualiti permainan yang lebih baik.

"Walaupun kalah dengan Buriram tetapi kita dapat melihat apa kekurangan yang ada selepas beraksi dengan pasukan di ranking ke-20 Asia itu," katanya.

Aidil Sharin memberitahu, berikutan itu, beliau berharap pemain yang beraksi dengan lebih baik dan tidak melakukan kesilapan-kesilapan yang akan memberi ruang kepada lawan.

Beliau selain itu turut berharap penyokong Kedah akan menjadi lautan hijau kuning sekali gus akan membakar semangat pemain untuk berjuang di atas padang.

Artikel Lain