Peng Soon-Liu Ying melangkah cemerlang di Indonesia Masters 2019 - Sukan | mStar

Peng Soon-Liu Ying melangkah cemerlang di Indonesia Masters 2019

Peng Soon dan Liu Ying menumpaskan gandingan tuan rumah, Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow; 21-19 dan 21-19.

PASANGAN beregu campuran profesional Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bermula dengan langkah kanan pada saingan badminton Indonesia Masters 2019 apabila mara ke pusingan kedua kejohanan berkenaan di Jakarta, Selasa.

Pasangan pilihan keenam itu menumpaskan gandingan tuan rumah, Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow; 21-19 dan 21-19 pada pusingan pertama kejohanan itu berlangsung di Istora Senayan, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Dalam pada itu, satu lagi pasangan Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan beregu Jerman, Marvin Emil Seidel-Linda Efler; 18-21, 21-19 dan 21-12.

Rakan sepasukan mereka, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, bagaimanapun tersingkir pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai US$350,000 (RM1.448 juta) itu selepas tumpas 12-21, 21-13 dan 18-21 kepada pasangan muda Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin turut menerima nasib sama selepas tewas 17-21 dan 15-21 di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada aksi pusingan kelayakan akhir.

Terdahulu, pemain Malaysia itu mengalahkan seorang lagi pemain Indonesia, Syabda Perkasa Belawa; 21-15 dan 21-17 pada perlawanan kelayakan pertama. - Bernama

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel