suria

Pergaduhan pasukan Terengganu dan Johor cemari saingan bola sepak Sukma

LUMUT: Perlawanan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 antara Johor dan Terengganu dalam Kumpulan B, dicemari dengan layangan empat kad merah susulan tercetus pergaduhan pada aksi di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, petang Isnin.

Insiden pada masa tambahan (minit ke-90+4) itu berpunca selepas berlaku provokasi tolak menolak menyaksikan seorang pemain Johor dilihat mula menendang seorang pemain Terengganu sebelum keadaan menjadi tidak terkawal, seketika.

Malah, insiden tersebut juga menyebabkan seorang penjaga garisan yang cuba mententeramkan keadaan terjatuh setelah ditolak beberapa pemain.

Pengadil Mohd Afiq Ahmad Nadzir melayangkan kad merah kepada Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dari Terengganu, manakala dua kad merah kepada pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar.

Perlawanan tersebut berakhir dengan Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Johor.

Gol Terengganu, masing-masing dijaringkan Muhammad Ridzuan Mohd Razali dan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa pada minit ke-28 dan ke-60 manakala gol sagu hati Johor menerusi Mohamad Hariz Kamarudin (minit ke-65)

Sementara itu, juara dua kali berturut-turut acara bola sepak Sukma, Perak terpaksa bekerja keras sebelum mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perlis pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, pada malam Isnin.

Perlis mendahului perlawanan apabila bola terkena pertahanan Perak, Muhamad Farid Nezal lalu menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-30. Perak terpaksa menunggu sehingga minit ke-82 untuk menjaringkan gol penyamaan hasil tandukan penyerang gantian Muhammad Hafidz Ahmad Kamaruddin.

Satu lagi aksi Kumpulan A pada sebelah petang di venue sama, menyaksikan Sarawak dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata, setelah terikat seri tanpa jaringan.

Aksi pada Selasa akan melibatkan perlawanan Kumpulan D, antara Selangor dan Pahang pada 4.30 petang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung manakala Kedah akan bertemu Kelantan di Stadium TLDM pada waktu yang sama.

Bagi perlawanan Kumpulan C, Melaka akan bertemu Pulau Pinang di Stadium Mini Parit Buntar, pada 4.30 petang. - Bernama

Sukma, Terengganu, Johor

Artikel Berikut

Artikel Lain