suria

Pemangku jurulatih Kedah kekal jika cemerlang

Foto kredit: KFA

ALOR SETAR: Khidmat pemangku ketua jurulatih Kedah, Azzmi Ab Aziz akan dikekalkan sekiranya beliau menunjukkan prestasi yang baik sepanjang mengharungi Piala Malaysia musim ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata pada masa ini, KFA tidak berhasrat ‘mengintai' ketua jurulatih baharu dan berharap Azzmi dapat memberi khidmat yang cemerlang kepada skuad Lang Merah.

Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri, berkata sepanjang Azzmi memangku jawatan itu, Kedah berjaya bangkit dan mencipta kemenangan berdepan MIFA dan terbaharu menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 31 Ogos lepas.

"Kejayaan ini menunjukkan pemain Kedah memerlukan sentuhan baharu selain kerjasama yang baik antara pemain dan jurulatih untuk mencapai kemenangan pada perlawanan itu. Apa kita harapkan supaya momentum ini akan terus dikekalkan pada perlawanan seterusnya," kata beliau.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan cek Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah kepada Champawan Omar, 51, ibu kepada Nor Laila Ramli, 30, yang meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kuala Kedah, ketika pulang dari kerja pada 3 September lalu.

Mohd Asmirul yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan menyerahkan cek itu kepada Champawan yang menetap di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah kerana layak menerima Faedah Orang Tanggungan sepanjang hayat.

Beliau berkata KFA juga tidak boleh sewenang-wenangnya mahu menukar pemain baharu dan kedudukan pemain import juga tidak perlu dikaji sekiranya mereka mempamerkan aksi cemerlang.

Kemerosotan prestasi pasukan Kedah sepanjang saingan liga sebelum ini, menimbulkan rasa gusar dalam kalangan peminat dan penyokong setia pasukan Lang Merah sehingga menyebabkan ketua jurulatihnya Mohd Nidzam Adzha Yusoff direhatkan KFA.- Bernama

Azzmi Ab Aziz, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mourinho-Pogba berdamai

Artikel Lain