suria

Yusri pikul sementara tugas Fajer

PETALING JAYA: Misteri kehilangan ketua jurulatih Fajer Ibrahim menyebabkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa bergantung harap kepada pembantunya, Yusri Che Lah untuk mengemudi pasukan itu buat sementara waktu.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Yursi akan mengambil alih tugas Fajer berkuatkuasa Isnin.

"Fajer masih gagal dikesan. Kita sudah kesuntukan masa. Jadi segala tugas Fajer akan diambil alih Yusri Che Lah," katanya kepada mStar Online.

Jelas Bibi, pengendali kelahiran Syria itu masih belum menghubungi Kafa bagi menjelaskan misteri kehilangannya.

"Dia masih belum hubungi atau jawab WhatsApp saya," katanya.

Malah Bibi tidak menolak kemungkinan Fajer sudah pulang ke Damsyik, Syria.

"Mungkin (dah pulang) lagipun kita sudah bayar gaji dia," katanya.

Bibi mengakui Yusri akan berdepan tugas getir ketika memimpin skuad The Red Warriors (TRW) bertemu Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa malam.

Bagaimanapun, beliau berharap agar anak buahnya kekal fokus dan terus berusaha untuk memburu mata kemenangan selepas tewas empat perlawanan berturut-turut.

"Saya minta pemain supaya jangan putus asa dan teruskan bermain. Saya percaya anda boleh lakukannya kerana tiada apa yang mustahil," katanya.

Kelantan menduduki tangga tercorot liga selepas hanya mengutip lapan mata daripada 13 perlawanan yang telah diharungi.

Yusri Che Lah, Fajer Ibrahim, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Lain