suria

Presiden FAM: "Tak perlu ada pertandingan"

Subahan Kamal

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal berharap tiada pertandingan diadakan bagi merebut kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara ini.

Selepas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan pada 25 Mac lalu, posisi presiden masih kosong sehingga kini dan bakal diisi pada Kongres FAM Ke-54 Julai ini.

Pada 11 Mei lalu, FAM mengesahkan tiga calon yang bakal bertanding adalah Datuk Hamidin Mohd Amin, Datuk Seri Mohd Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa.

“Secara peribadi, biarlah tidak ada pertandingan. Banyak negeri dalam proses peralihan dan saya rasa penting untuk mantapkan di peringkat negeri terlebih dahulu.

“Biarlah FAM ini bagi kepada Hamidin yang telah lama dan berpengalaman.

“Kalau beliau tidak boleh bawa tugas itu, baharulah kita buat pertandingan lain.

“Rata-rata exco sendiri pun bersetuju Hamidin menjadi presiden,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa FAM bersama media pada Ahad.

Sementara itu, pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberitahu, setakat hari ini hanya Hamidin sahaja yang telah mengesahkan persetujuan untuk bertanding.

“Saya telah menghubungi dua lagi calon dan mereka meminta sedikit masa lagi.

“Jadi kami beri masa sehingga 14 Jun ini untuk mereka membuat keputusan terbaik sama ada mahu bertanding atau tidak.

“Jika kedua-dua tidak mahu bertanding maka Hamidin akan jadi presiden FAM," katanya.

Katanya lagi, pengesahan rasmi berhubung jawatan itu tetap dibuat pada kongres nanti.

FAM, Presiden FAM

Artikel Lain