suria

Mana Fajer?

Foto FB Kelantan FA Official.

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan ketua jurulatih pasukan itu, Fajer Ibrahim telah menghilangkan diri.

“Dia hilang dari radar. Nombor telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi di luar kawasan perkhidmatan,” kata Bibi kepada mStar Online.

Jelas usahawan batik itu, pesanan WhatsApp yang dihantar ke telefon bimbit pengendali dari Syria itu juga tidak dijawab.

“Saya hantar Whatspp tapi tidak dibalas,” katanya.

Bibi yang baharu sahaja tiba di tanah air selepas pulang mengerjakan umrah di Makkah mengakui tidak terkejut dengan tindakan Fajer.

Sebaliknya, Bibi berkata beliau sudah bersedia dengan apa jua keadaan yang akan membelenggu pasukan itu selepas ini.

“Tekanan yang diterima daripada pelbagai pihak bukan semua orang boleh hadapi. Beliau juga pernah bertanya kepada saya bagaimana saya boleh berhadapan tekanan hebat ini.

“Dia juga tanya kenapa saya boleh kekal dan duduk dalam sebuah pasukan yang beliau sendiri tak pernah berdepan situasi teruk sebegini,” katanya.

Bibi bagaimanapun menegaskan beliau tidak setuju dengan tindakan Fajer yang menghilangkan diri secara tiba-tiba.

“Dia tidak boleh bertindak sebegini,” katanya.

Ditanya sama ada Fajer sudah pulang ke Serbia, Bibi berkata pengendali berusia 53 tahun itu pastinya tidak akan berbuat demikian.

“Saya yakin dia belum pulang kerana dia minta cuti pelepasan sempena Aidilfitri pada 9 hingga 14 Jun ini,” katanya.

Mengenai status Fajer, Bibi enggan mengulas lanjut sebaliknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Kita tunggu dan lihat kerana saya dah beritahu dari awal jangan beliau pula yang keluar selepas buang pemain,” katanya.

Terdahulu Fajer dikhabarkan menghilangkan diri apabila kelibat beliau tidak kelihatan bersama pasukan di tempat penginapan di Perlis pada Ahad.

Fajer sepatutnya berada bersama pasukan bagi menjalani latihan menjelang pertemuan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain