suria

Nafiizwan enggan pulang tangan kosong

Foto dari AFP.

GOLD COAST: Biarpun tewas di peringkat separuh akhir pada Ahad, pemain skuasy lelaki negara Mohd Nafiizwan Mohd Adnan masih belum mahu mengaku kalah dan tidak mahu pulang dengan tangan kosong daripada temasya Sukan Komanwel 2018.

Pemain berusia 31 tahun itu bakal berentap dalam perebutan pingat gangsa pada Isnin, selepas tewas 0-3 kepada pemain pilihan keempat dari England James Willstrop.

“Saya sungguh kecewa saya tidak dapat sumbang pingat emas atau perak kepada negara tetapi ia belum berakhir. Esok masih ada. Saya akan gunakan peluang terakhir saya untuk memberikan gangsa kepada negara.

"Hari ini, saya sudah buat yang terbaik, saya kejar semua hantaran tapi saya akui dia (James) lebih bersedia dan berpengalaman daripada saya. Mungkin juga dia ada rahsia macam mana untuk kalahkan saya. Saya pun ada buat persiapan dan video analisis tapi dia lebih hebat hari ini," katanya.

Dalam perlawanan pada Ahad, pemain kelahiran Terengganu itu tewas set pertama 6-11, cuba bangkit pada set kedua dengan beberapa pukulan cantik untuk memerangkap Willstrop dan berada tiga mata di hadapan.

Bagaimanapun, Mohd Nafiizwan yang mengakui ghairah untuk menamatkan set kedua, melakukan beberapa kesilapan kecil yang menyebabkan beliau tunduk di set kedua dengan 10-12.

Memasuki set ketiga pula, Mohd Nafiizwan dilihat semakin buntu untuk membalas pukulan pemain berpengalaman dari England itu dan terpaksa tunduk mudah 4-11.

Mohd Nafiizwan akan berdepan sama ada Joel Makin dari Wales atau Paul Coll dari New Zealand dalam penentuan pingat gangsa pada Isnin.

"Saya lebih suka berhadapan Joel Makin, saya tidak pernah bertemu beliau tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya mahu menyumbangkan pingat pertama skuasy lelaki kepada negara,” katanya.

Satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki di antara Makin dan Coll akan berlangsung 8 malam Ahad. - Bernama

Nafiizwan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain